Friday, November 24, 2006

Wanita Solehah Adalah untuk Lelaki Mukmin



Tidak wajar bagi seorang mukmin sejati melupakan kesemua ciri wanita solehah ini dalam memilih pasangan lalu menilai semata-mata dari sudut paras rupa yang menarik tetapi buruk akhlaknya. Ini amat merugikan suami dan rumah tangga muslim yang bakal dibina.



Segala ciri di atas menggambarkan betapa indahnya sifat wanita solehah. Dan alangkah bahagianya lelaki yang memiliki hati wanita ini. Keindahan ini tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ratu cantik dunia. Sekalipun pada pandangan manusia lain dia tidak memiliki paras yang cantik.



Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:



(Kebiasaannya) wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat. Lelaki-lelaki yang jahat juga adalah untuk wanita-wanita yang jahat. Dan sebaliknya wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik serta lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.” – Surah al-Nur: 26.



Walau bagaimanapun, ini bukanlah bermakna agama melarang sama sekali seseorang itu memilih calon isteri yang cantik paras rupanya. Tiada siapa menafikan bahawa paras rupa yang menarik boleh menambahkan lagi keinginan seorang lelaki untuk menikahi seorang wanita. Ini merupakan fitrah dan diperakui oleh agama.



Sabda Rasulullah s.a.w:



“Apabila salah seorang kamu meminang seorang wanita sekiranya dia dapat melihat wanita itu, dia hendaklah melihatnya agar bertambah keinginannya untuk berkahwin.” – Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Bazzar. Disahihkan oleh al-Hakim dan Ibn Hibban.



Juga berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:




Wanita itu dinikahi kerana empat perkara. Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beruntung.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.



Paras Rupa Bukanlah Segala-galanya




Namun, apa yang dilarang ialah sikap seorang lelaki mukmin yang mengabaikan pemilihan isteri dari sudut agama kerana mengutamakan rupa paras. Sehinggakan sanggup memilih wanita yang tidak berakhlak semata-mata kerana kecantikannya. Dan mengabaikan wanita mukminah lain yang lebih baik dari segi akhlak.



Ini bersesuaian dengan firman ALLAH yang menyebut bahawa seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik untuk dijadikan pasangan hidup berbanding wanita musyrik. Walaupun rupa paras wanita musyrik itu lebih menawan hati lelaki mukmin.



Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:


"Sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu." – Surah al-Baqarah: 221.

*sambungan...

Wednesday, November 08, 2006

ISTERI SOLEHAH MENGATASI PARAS RUPA



Sabda Rasullah s.a.w:



Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah.” – Riwayat Muslim, Kitaab al-Ridha.



Agama merupakan faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai di kalangan umat manusia pada zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri. Ramai di kalangan kita yang masih tidak menyedari bahawa faktor ini berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.





Wanita yang beragama sentiasa mentaati ALLAH dan Rasul-NYA. Menjaga maruah diri dan ibu bapa, menundukkan pandangan di hadapan lelaki yang bukan mahram, berusaha menuntut ilmu, memahami dan mengamalkan apa yang difahaminya. Sentiasa bertaubat dan mendekatkan diri kepada ALLAH dengan melakukan pelbagai amalan wajib dan sunat.



Wanita yang terdidik dengan agama akan sentiasa memastikan dirinya bersih, kemas dan cantik. Ini kerana agama memerintahkan dia melakukan demikian. Semua itu dilakukan ikhlas kerana ALLAH berserta keyakinan bahawa dia akan dibalas dengan pahala di sisi TUHANnya.



Dia sentiasa memelihara diri dan menutup aurat dari pandangan lelaki yang bukan mahram. Percakapan yang lembut dan tepat seringkali menjadikan dirinya disukai dan disayangi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya. Masa yang terluang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah dan demi kebaikan diri serta agama.



Melakukan Aktiviti yang Berfaedah



Menuntut ilmu amat penting untuk mempersiapkan diri dengan ilmu yang bermanfaat untuk diri dan rumah tangganya. Setiap saat yang berlalu tidak dibiarkan terbuang begitu sahaja. Malah, dipenuhi dengan apa sahaja aktiviti yang boleh menambahkan ilmu pengetahuan sama ada berbentuk majlis ilmu, membaca bahan bacaan yang melibatkan isu semasa umat Islam atau kitab-kitab muktabar. Ilmu yang diterima bukan sahaja untuk faedah diri sendiri. Malah, dikongsi bersama ahli keluarga dan sahabat handai.



Dia tidak mudah dipengaruh oleh penyakit sosial yang sedang hebat melanda wanita lain di masa kini. Tidak dilalaikan oleh hiburan yang melampau. Tidak pernah terpengaruh dengan sekelilingnya yang sentiasa mengajak kepada kemungkaran. Sentiasa menjaga batas pergaulan lelaki dan wanita dan berwaspada terhadap budaya berseronok-seronok yang sedang menyerang muda-mudi masa kini.



Ketika rakan sebaya sedang asyik menikmati masa muda dengan cara berpeleseran, berpacaran, membuat janji temu dengan pasangan masing-masing, dia sibuk dengan kerja-kerja yang berguna untuk agama. Dia banyak menghabiskan masa dengan beribadah, mendirikan solat, menuntut ilmu pengetahuan, berbakti kepada ibu bapa dan mengisi masa senggangnya dengan pelbagai jenis aktiviti yang berfedah.



Keinginan untuk menyintai dan dicintai yang merupakan fitrah manusiawi tidak pernah dinafikan. Namun, kepada ALLAH jualah dia meminta agar dipermudahkan jalan untuk menyintai dengan cara yang halal dan diredhai ALLAH. Jiwa remajanya yang meruntun ke arah itu ditepisnya dengan iman dan takwa serta keyakinannya terhadap ALLAH. Kecintaan kepada ALLAH dan Rasul-NYA serta kegigihan untuk menjauhi segala yang diharamkan oleh ALLAH membantu dia menjalani zaman remaja yang penuh cabaran dengan benteng iman dan takwa.



Mana mungkin dia melayan semua bisikan syaitan ke arah itu. Sedangkan dia amat jelas tentang hukumnya. Dia amat sedar akan batasan hubungan itu. Dalam al-Quran, surah al-Nur ALLAH memerintahkan agar wanita-wanita yang beriman menundukkan pandangan. Melalui sabda Rasulullah s.a.w pula, jelas bahawa baginda melarang berdua-duaan antara dua kaum yang berlawanan jenis kerana syaitan akan mencelah di antara mereka, lalu mendorong ke arah maksiat yang lebih besar, iaitu zina.



Mentaati Ibu Bapa



Kedua-dua ibu bapa ditaati dengan sepenuh hati sebagai memenuhi perintah ALLAH agar berbuat baik kepada mereka dalam perkara makruf. Dia tidak pernah meninggikan suara jauh sekali menyakiti hati kedua-duanya. Ini bersesuaian dengan perintah ALLAH yang berbunyi:



“Dan TUHANmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan pada-NYA semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik terhadap ibu bapa. Jika salah seorang dari kedua-duanya atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan-MU, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka. Tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (mereka, dengan berkata): Wahai TUHANku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang dalam memelihara dan mendidikku semasa kecil." – Surah al-Israak: 23 – 24.



Redha dan Syukur dengan Apa yang Ada



Harta benda bukanlah matlamat utama hidupnya. Jika dia diberikan kekayaan, dia bersyukur dan tidak sombong. Malah seboleh mungkin melakukan kebajikan dengan bersedekah kepada yang kurang upaya. Sebaliknya jika dia ditakdirkan miskin, dia juga bersyukur dan bersabar. Dirinya sentiasa sedar bahawa di luar sana masih ramai yang diuji dengan kemiskinan yang lebih dahsyat daripada apa yang dialaminya. Segala yang ditentukan oleh ALLAH buat dirinya diterima dengan penuh redha. Yakin bahawa setiap sesuatu yang telah ditentukan oleh ALLAH ke atasnya adalah baik untuk kehidupan dunia dan agamanya.



Sabda Rasulullah s.a.w:



“Sungguh mengkagumkan sifat orang mukmin. Apa sahaja keadaannya pasti baik. Ia tidak pernah dialami oleh sesiapa pun melainkan orang mukmin. Jika dia senang, dia bersyukur dan ia baik untuk dirinya. Dan jika dia susah dia bersabar dan itu baik untuk dirinya.” – Riwayat Muslim.



Dia juga sentiasa mengikut teladan wanita-wanita pada zaman sahabat dan salafussoleh. Mereka berjaya melahir dan mendidik generasi yang bijak pandai. Antaranya, dengan mencontohi Fatimah binti Muhammad r.a yang sabar menghadapi kemiskinan, mencontohi Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar r.a dalam kebijaksanaan dan kecintaan kepada ilmu, mencontohi Ummu Sulaim binti Milhan r.a dalam kecintaan dan kesetiaan kepada suami dan kejayaan mendidik, mencontohi Asma bin Abu Bakar r.a dalam semangat yang kental dan ketabahan menghadapi pelbagai ujian hidup.



*dipetik dari fowarded email

Friday, November 03, 2006


Bahagian 2-3

Dalil Kelima :
Sambutan Maulid Nabi bersumberkan selawat dan salam yang dituntut dalam firman Allah Ta'ala :


Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, wahai orang yang beriman, berselawat dan salamlah kamu ke atasnya dengan sebaik-baik penghormatan.

Apa yang berasaskan sesuatu yang dituntut oleh syara', maka ia turut dituntut oleh syara'. Malah selawat ke atas Baginda mempunyai faedah yang terlalu agung, hingga takkan tercapai pena mencatatkannya.

Dalil Keenam :
Sesungguhnya sambutan Maulid Nabi dipenuhi dengan memperingati kelahiran Baginda yang mulia, mukjizat-mukjizat, sirah dan mengenali baginda. Bukankah kita diperintahkan untuk mengenali, mencontohi, mengikuti amalan, dan beriman dengan mukjizat serta membenarkan tanda-tanda baginda? Hanya inilah tujuan buku-buku maulid yang ada.

Dalil Ketujuh :
Sambutan ini juga sebagai melaksanakan sebahagian kewajipan kita dengan menerangkan sifat-sifat Baginda yang sempurna, dan akhlak-akhlak baginda yang mulia. Para penyair di zaman Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sentiasa menyifatkan baginda dengan qasidah-qasidah mereka. Baginda pula meredhai mereka dan memberi ganjaran dengan perkara-perkara yang baik seperti mendoakan mereka.

Kalaulah Baginda redha sesiapa yang memuji Baginda, bagaimana mungkin baginda tidak redha atas mereka yang menghimpunkan segala sifat Baginda yang mulia. Maka ia merupakan suatu perakra yang dapat mendekatkan diri kepada Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam dengan melakukan perkara yang membuatkan kita memperolehi kecintaan dan keredhaannya.

Dalil Kelapan : Sesungguhnya mengetahui sifat-sifat, mukjizat-mukjizat dan ciri-ciri baginda menggalakkan lagi kesempurnaan iman dan kecintaan kepada Baginda. Hal ini kerana sifat manusia yang normal adalah menyukai sesuatu yang indah, dalam bentuk fizikal dan akhlak, ilmu dan amalan, mahupun apa-apa keadaan dan i'tiqad. Dan tiadalah yang lebih terindah, sempurna dan utama dari akhlak dan sifat-sifat Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

Menambahkan kecintaan kepada Baginda dan kesempurnaan iman amatlah dituntut oleh syara', maka apa yang boleh menggalakkannya jua dituntut oleh syara'.

Dalil Kesembilan : Mengagungkan baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam dituntut oleh syara'. Manakala bergembira dengan hari kelahiran Baginda dengan menunjukkan kegembiraan, membuat kenduri, mengumpulkan masyarakat untuk berzikir, dan memuliakan fakir miskin merupakan antara cara yang paling jelas dalam mengangungkan, memuliakan, bergembira dan bersyukur kepada Allah, kerana hidayah-Nya yang menunjukkan kita kepada agama-Nya yang mulia, dan apa-apa anugerah-Nya kepada kita dengan perutusan Nabi 'Alaihi Afdhalussolatu Wassalam.

*Dipetik dari blog aljufri