Monday, July 31, 2006

...Sambutan Maulid...
Sambungan Bahagian 2 - 2

Dalil Kedua :
Baginda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sendiri telah membesarkan hari kelahiran baginda. Baginda bersyukur kepada Allah Ta'ala atas nikmat-Nya yang besar ke atas baginda, mengutamakan baginda dengan kewujudan baginda ini, malah semua makhluk bergembira dengan kewujudan tersebut. Baginda membesarkan hari tersebut dengan cara berpuasa seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam ditanya tentang mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, lalu dijawab : Padanya aku dilahirkan dan padanyalah Quran diturunkan ke atasku.1

Inilah dia sambutan yang dilakukan. Namun bentuk sambutan tersebut berbeza sedikit, tetapi apa yang pasti erti sambutan tersebut adalah sama, samaada dengan puasa, memberi makan, berkumpul untuk berzikir dan selawat atas Nabi atau menedengar kisah dan kemuliaan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang mulia.

Dalil Ketiga :

Sesungguhnya bergembira dengan Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam dituntu melalui perintah Al-Quran dari firman Allah Ta'ala :


Katakanlah dengan nikmat keutamaan dari Allah dan rahmat-Nya, maka dengannya bergembiralah kamu semua.

Maka Allah Ta'ala lah yang memerintahkan kita untuk bergembira dengan rahmat, dan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebesar-besar rahmat. Allah Ta'ala telah berfirman :



Dan tidaklah Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Dan dikuatkan lagi tafsiran ini pakar dalam pentafsiran Al-Quran Saiyidina Ibn Abbad Radhiyallahu 'Anhuma. Abu Syeikh telah meriwaykan dari Ibn Abbas pada membicarakan ayat di atas beliau telah berkata : Keutamaan dari Allah ialah ilmu, manakala rahmat-Nya adalah Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Alla telah berfirman : Dan tidaklah kami utuskan engkau melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.2

Kegembiraan dengan baginda Sallalahu 'Alaihi Wasallam dituntut pada setiap waktu, pada setiap nikmat, dan pada setiap keutamaan, tetapi dikuatkan lagi tuntutan ini pada setiap hari Isnin dan setiap kali bulan Rabiul Awal. Ini adalah kerana kuatnya kesesuaiannya serta bertepatan dengan waktunya.

Dalil keempat :

Sesungguhnya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam selalu mengambil kira ikatan masa, dengan peristiwa-peristiwa besar dalam agama yang telah berlalu sebelumnya. Apabila datangnya masa berlakunya peristiwa tersebut ia menjadi peluang bagi mengingatinya dan membesarkan hari tersebut kerana peristiwa tersebut.

Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sendiri yang mengasaskan kaedah ini seperti mana dijelaskan dalam hadis sohih bahawa ketika baginda berhijrah ke Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura'. Lalu baginda bertanya mereka. Mereka lalu menjawab, itulah hari Fir'aun ditenggelamkan dan Musa diselamatkan. Maka kami berpuasa sebagai bersyukur kepada Allah Ta'ala. Maka Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam : Kami lebih layak bagi Musa daripada kalian. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan sahabat berpuasa.3

Nota Kaki :
1) Hadis riwayat Imam Muslim dalam kitab Sahihnya, dalam Kitab Siyam.
2) Ad-Durrul Mantsur Juz 3, Halaman 308
3) Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka.

Akan bersambung....

Saturday, July 15, 2006

...Pengubat Rindu...






~Jadual Daras Habib Umar Secara Live~

1)عوارف المعارف

Hari: setiap hari

Masa: 8.40 PM (S'pore) , 3.40 PM (Mecca)

2)درس الفقه

Hari: setiap selasa , Rabu , Jumaat

Masa: 11.50 PM (S'pore) , 6.50 PM (Mecca)

3)السيرة النبوية

Hari: setiap Sabtu dan Ahad(Mecca)

Masa: 1.15 AM (S'pore) , 8.15 PM (Mecca)

4)درس مختصر الإحياء

Hari: setiap Rabu(Mecca)

Masa: 2.40 AM (S'pore) ,9.40 PM (Mecca)

5)ارشادات السلوك

Hari: setiap khamis(Mecca)

Masa: 12.35 AM (S'pore) ,7.35 PM (Mecca)

*Untuk mendengarnya,sila klik disini!!


~~~Jadual Daras Habib Ali AlJufri Secara Live~~~

1)درس الفكر الدعوي
الجزء الرابع


Hari : Setiap Selasa , Rabu , Jumaat(Mecca)

Masa: 1.25 AM (S'pore) , 8.25 PM (Mecca)

*Untuk mendengarnya,sila klik disini!!!

Thursday, July 13, 2006

Bahagian 2


Persoalan kita yang utama adalah adakah sabit sambutan kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam menurut dalil syarie?

Adakah di sana dalil yang menyokong amalan ini?
Tanpa apa-apa dalil tentulah dengan mudah mereka mengatakan ia adalah bid'ah dan haram di sisi mereka. Tetapi jika ada dalil walaupun sedikit tertutuplah pintu untuk mengatakan bahawa ia adalah bid'ah. Inikan pula jika dalilnya banyak. Di bawah ini ana kumpulkan dalil-dalil syarie pada keharusan sambutan ini.

Dalil Pertama :

Sesungguhnya sambutan kelahiran Maulid Nabi yang Mulia ini merupakan satu bentuk gambaran kegembiraan dan kebahagiaan kita dengan Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Malah orang kafir juga mendapat manfaat dengan kegembiraan ini.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, bahawasanya Abu Lahab diringankan azab pada setiap hari Isnin, kerana beliau telah memerdekakan hambanya Tsuwaibah ketika dikhabarkan berita gembira kelahiran Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam1.

Al-Hafiz Syamsuddin Muhammad bin Nasiruddin Addimasyqi dalam hal ini menyebut: Jika seorang kafir ini yang dicampakkan ke dalam neraka kekal abadi, dan disebutkan "celakalah tangannya", diringankan azab setiap hari Isnin kerana kegembiraannya, apakah yang kamu sangka bagi seorang hamba yang sentiasa bergembira dengan Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam sepanjang hayatnya dan mati dalam keadaan beriman?

Walaupun riwayat hadis ini adalah mursal, namun ia diterima kerana ia diriwayatkan oleh Al-Bukhari, malah dipegang oleh para ulama Huffaz, serta hadis ini adalah pada bab manaqib dan keistimewaan, bukan pada bab Halal dan Haram. Para penuntut ilmu agama tentu sekali tahu perbezaan istidlal (pengambilan dalil) dengan hadis pada bab manaqib atau ahkam.

Nota Kaki : 1) Hadis di atas diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya, pada Kitabunnikah, dan dinaqalkan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fathul Bari. Ia turut diriwayatkan oleh Al-Imam Abdul Razaq As-Son'ani dalam Al-Musannaf Juzuk 7, halaman 478, Al-Hafiz Al-Baihaqi dalam Ad-Dalail, Ibn Katsir dalam Sirah Nabawiah dari Kitab Bidayah, Juzuk 1 halaman 224, Ibnul Badi' As-Syaibani dalam Hadaiqul Anwar, Juzuk 1 halaman 134, Al-Hafiz Al-Baghawi dalam Syarhissunnah, Juzuk 9, halaman 76, Ibn Hisyam dan Assuhaili dalam Raudhul Anf, Juzuk 5 halaman 192, Al-'Amiri dalam Buhjatul Mahafil, Juzuk 1 halaman 41.



Sambungan...

Saturday, July 08, 2006

Bahagian 1 (Samb. (3) )

Adakah disyaratkan sambutan tersebut dengan berpuasa sahaja?


Jika ditanya kepada kita, Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam menyambut kelahiran baginda dengan berpuasa, mengapa pula anda semua pada hari ini menyambutnya dengan cara-cara lain seperti memberi makan, membaca sejarah hidup baginda, dan lain-lain lagi perkara baik yang tidak dilakukan oleh Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam? Bukankah ini satu bid'ah? Apa jawapan kita?

Sesungguhnya perkara ini merujuk kepada soal 'bagaimana' atau 'cara' sambutan tersebut. Soal ini adalah soal ijtihadiah dan bukanlah perbincangan kita di sini. Kerana persoalan kita adalah, adakah dibenarkan berusaha untuk menyambut kelahiran Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Adakah ia sabit atau pun tidak? Adapun bagaimana disambut dan bagaimana dimuliakan kelahiran tersebut adalah terbuka buat ummah ini berdasarkan ijtihad mereka, pandangan dan idea mereka serta keadaan masing-masing.

Contoh bagi perkara-perkara ijtihadiah yang mana masalah asalnya sabit dan soal 'bagaimana' dan 'bentuknya' ditinggalkan kepada ummah, amat banyak sekali. Antara yang paling utama sekali adalah Al-Quran Al-Karim yang tiada seorang pun bercanggah pada soal keutamaannya, keutamaan menghafalnya, kemuliaan mengajarkannya serta kehormatan mereka yang menghafaznya dan mengajarkannya. Namun begitu adakah di sana terdapat cara atau jalan yang mesti diikuti untuk mengembangkannya, mengajarkannya atau menghafalnya?

Jawapannya kembali kepada pembaca. Realiti yang berlaku hari ini jelas sekali kelihatan di sana sini, sekolah-sekolah dan institusi untuk belajar dan menghafal Al-Quran. Terdapat saban waktu Majlis Tilawah Al-Quran. Kita boleh dapati kaset, cd dan apa-apa alat moden dicipta khas untuk Al-Quran. Mushaf-mushaf Al-Quran pula diterbit dan dicetak dalam pelbagai bentuk dan warna seperti cara bacaan dan hukum tajwidnya, khas untuk membantu para pembaca. Sedangkan adakah semua ini ada pada zaman Rasulullah?

Begitulah apa jua perkara yang termasuk dalam kategori ini. Apa yang penting adalah asasnya adalah sabit mengikut syara'. Cara sambutan diserahkan kepada ummah mengikut kesesuaian mereka dengan syarat tidak melanggar hukum syara' yang sudah pasti.


Bersambung : Bahagian 2 : Dalil Keharusan Sambutan Maulid Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam

Wednesday, July 05, 2006

Bahagian 1 (Samb.)

Sekilas sejarah sambutan Maulid Nabi..



Siapakah orang yang pertama menyambut Hari Kelahiran Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam? Jawapannya adalah tuan kepada kelahiran ini sendiri iaitu Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, seperti mana tercatat dalam hadis sohih, yang diriwiyatkan oleh Imam Muslim : Ketika Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam ditanya mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, baginda menjawab : Itulah hari kelahiranku.

Ini merupakan dalil yang paling kuat dan jelas pada pensyariatan sambutan Maulid Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Kita tidak perlu untuk memalingkan pandangan kepada mereka yang mendakwa bahawa orang yang pertama menyambutnya adalah kerajaan Fatimiyyah, kerana kenyataan ini samaada kerana kejahilan mereka atau sengaja membutakan diri dari kebenaran.

Al-Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani berkata : Aku mengeluarkan hukum sambutan ini berdasarkan kepada dalil yang sabit iaitu apa yang terdapat di dalam Sohihain (Sohih Bukhari dan Muslim), bahawasanya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam ketika berhijrah ke Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura'. Lalu baginda bertanya mereka. Mereka lalu menjawab, itulah hari Fir'aun ditenggelamkan dan Musa diselamatkan. Maka kami berpuasa sebagai bersyukur kepada Allah Ta'ala. Maka Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam : Kami lebih layak bagi Musa daripada kalian.

Ibn hajar berkata lagi : Maka diambil pengajaran daripada hadis ini, perbuatan bersyukur ke atas apa yang Allah kurniakan pada hari tertentu dari kurniaan nikmat atau mengangkat bala', dan diulang-ulang pula perbuatan demikian pada hari tersebut pada setiap tahun. Dan bersyukur pada Allah boleh terhasil dengan pelbagai cara ibadah seperti sujud, puasa, sedekah dan membaca Al-Qur'an. Apakah pula nikmat yang lebih besar dari lahirnya Nabi ini, Nabi yang membawa Rahmat, pada hari tersebut? Allah Ta'ala ada berfirman :


"Allah telah memberikan kurniaan kepada orang beriman ketika mana diutuskan Rasul dari kalangan mereka sendiri."

Al-Imam Al-Hafiz Jalaluddin As-Sayuthi pula berkata: Aku mengeluarkannya pula berdasarkan dalil yang lain, iaitu apa yang disebutkan oleh Imam Al-Baihaqi dari Anas bahawasanya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah membuat aqiqah untuk diri baginda sendiri, sedangkan datuk baginda Abdul Mutalib sudah pun membuatkan aqiqah untuk baginda. Seperti mana maklum, aqiqah tidak dilakukan melainkan sekali. Maka diistinbat darinya bahawa perbuatan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam tersebut adalah untuk menzahirkan rasa bersyukur atas sebab Allah mewujudkan baginda sebagai rahmat kepada seluruh alam, dan sebagai mensyariatkannya kepada ummat baginda.

Imam Sayuthi berkata lagi : Maka digalakkan bagi kita juga untuk menzahirkan rasa syukur dengan kelahiran baginda Sallahu 'Alaihi Wasallam dengan mengumpulkan masyarakat dan memberikan makan serta apa-apa cara mendekatkan diri dengan Allah dan melahirkan kegembiraan.

Maka di sini jelaslah kepada kita sesungguhnya yang memulakan sambutan kelahiran Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah Baginda sendiri berdasarkan hadis-hadis dan kata-kata ulamak hadis di atas.


Bersambung : Adakah disyaratkan sambutan tersebut dengan berpuasa sahaja?

Sunday, July 02, 2006

...Sambutan Maulid...



Sejak sekian lama isu sambutan memperingati kelahiran Junjungan Besar kita Muhammad Sallallahu 'Alahi Wasallam dipersoalkan. Tidak pernah setahun berlalu tanpa isu ini diheboh-hebohkan dan dibesar-besarkan oleh segelintir pihak yang tidak senang dengan sambutan yang menyalahi pendirian mereka ini.Malah ada di kalangan mereka yang sebelum ini begitu bersemangat membid'ahkan dan megharamkan sambutan ini sudah menarik balik kata-kata mereka.

Walaupun demikian kita masih mendengar isu ini - yang dianggap sebagai isu yang besar di kalangan mereka yang ekstrim (hadahumullah) - berkumandang dan diulang-ulang. Mereka menganggap bahawa sambutan seperti ini adalah sambutan munkar yang dipenuhi dengan aktiviti munkar dan khurafat. Mereka juga mendakwa bahawa sambutan ini dianggap seperti mencipta satu 'hari raya' yang ketiga selepas aidul fitri dan aidul adha.

Apa yang perlu dijelaskan di sini bahawa kita tidak pernah menganggap hari kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam ini sebagai hari raya, malah ia lebih mulia dan agung darinya. Ini kerana hari raya hanya berulang setahun sekali sahaja, sedangkan menyambut kelahiran Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan berusaha memperingati Baginda serta sejarah Baginda wajib dilakukan secara berterusan dan tidak tertakluk kepada tempat dan masa.

Sesiapa yang meletakkan sambutan ini sebagai hari raya adalah orang yang jahil dan ia tidak terjadi melainkan daripada orang awam yang juga tidak memaksudkan dengannya sebagai hari raya syar'ie (aidulfitr dan aidul adha) tetapi hanya kerana adat mereka menamakan apa-apa yang menggembirakan sebagai satu perayaan.

Sebelum kita menyebutkan dalil-dalil pada keharusan sambutan memperingati kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam ini, biarlah kita menerangkan beberapa masalah asas atau kefahaman tentang sambutan ini.

1) Kita menyambut kelahiran Saiyidina Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam kekal sentiasa pada setiap waktu, pada setiap peristiwa dan pada setiap peluang yang ada padanya kegembiraan atau aktiviti. Seterusnya kita tambahkan pula perkara-perkara ini pada bulan kelahiran Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam (Rabiul Awal) dan pada hari kelahirannya (Isnin).

Dan tidak selayaknya bagi seorang yang berakal bertanya pula mengapa kita menyambutnya. Kerana seolah-olah dia bertanya mengapa kita bergembira dengan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Dan juga seolah-olah dia bertanya mengapa kamu mendapat kegembiraan dengan kehadiran Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Maka soalan ini tidak sepatutnya terbit dari sesorang yang bersaksikan Lailaha Illallah Wa Anna Muhammadan Rasulullah. Malah ianya soalan beku yang tidak perlukan jawapan tetapi bolehlah kita jawab juga dengan kata-kata : Aku menyambutnya kerana aku gembira dan suka dengan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, dan aku menyintai baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam kerana aku beriman dengan Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

2) Kita maksudkan dengan sambutan ini adalah dengan cara berkumpul untuk mendengar sirah Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam, mendengar puji-pujian yang berhak ke atas baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam, memberi makanan, memuliakan orang faqir dan yang memerlukan serta menggembirakan hati orang yang kita kasihi.

3) Kita tidak sekali-kali mengatakan sambutan tersebut perlu dilakukan hanya pada malam-malam tertentu, atau cara-cara yang kita lakukan adalah dari apa yang dinaskan padanya secara jelas seperti solat dan puasa dan lain-lain. Tetapi tiada apa tegahan atasnya kerana perhimpunan untuk mengingati Allah, berselawat kepada Rasulillah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan apa-apa amalan-amalan baik sepertinya memang patut kita usahakan setiap kali kita berpeluang. Malah ia patut dilakukan lebih-lebih lagi pada bulan kelahiran-Nya kerana perkara yang mendorong kepadanya lebih kuat lagi untuk menjemput masyarakat dan mengumpulkan mereka.

4) Sesungguhnya perhimpunan-perhimpunan ini merupakan metod terbaik dalam dakwah kepada Allah. Ia merupakan peluang keemasan yang tidak patut dibiarkan begitu sahaja. Malah menjadi satu kewajipan atas para pendakwah dan ulamak untuk mengingatkan ummah ini berkenaan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dengan akhlak, adab, segala keadaan, sirah, muamalat dan ibadat baginda. Selain itu mereka perlu menasihatkan masyarakat dan membimbing mereka ke arah kebaikan dan kejayaan dan mencegah mereka dari perkara yang membawa bala', bid'ah, kejahatan dan fitnah.

Kita sentiasa menyeru pada perhimpunan-perhimpunan kita dalam menyambut sambutan ini bahawa tujuan kita menyambutnya adalah dengan tujuan-tujuan tersebut. Sesiapa yang tidak mendapat faedah untuk agamanya dari sambutan tersebut, sebenarnya dia telah ternafi dari kebaikan-kebaikan maulid Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang mulia.

(Bersambung)

Selepas ini : Sejarah sambutan Maulid Nabi

*Dipetik dari blog aljufri