Thursday, July 13, 2006

Bahagian 2


Persoalan kita yang utama adalah adakah sabit sambutan kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam menurut dalil syarie?

Adakah di sana dalil yang menyokong amalan ini?
Tanpa apa-apa dalil tentulah dengan mudah mereka mengatakan ia adalah bid'ah dan haram di sisi mereka. Tetapi jika ada dalil walaupun sedikit tertutuplah pintu untuk mengatakan bahawa ia adalah bid'ah. Inikan pula jika dalilnya banyak. Di bawah ini ana kumpulkan dalil-dalil syarie pada keharusan sambutan ini.

Dalil Pertama :

Sesungguhnya sambutan kelahiran Maulid Nabi yang Mulia ini merupakan satu bentuk gambaran kegembiraan dan kebahagiaan kita dengan Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Malah orang kafir juga mendapat manfaat dengan kegembiraan ini.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, bahawasanya Abu Lahab diringankan azab pada setiap hari Isnin, kerana beliau telah memerdekakan hambanya Tsuwaibah ketika dikhabarkan berita gembira kelahiran Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam1.

Al-Hafiz Syamsuddin Muhammad bin Nasiruddin Addimasyqi dalam hal ini menyebut: Jika seorang kafir ini yang dicampakkan ke dalam neraka kekal abadi, dan disebutkan "celakalah tangannya", diringankan azab setiap hari Isnin kerana kegembiraannya, apakah yang kamu sangka bagi seorang hamba yang sentiasa bergembira dengan Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam sepanjang hayatnya dan mati dalam keadaan beriman?

Walaupun riwayat hadis ini adalah mursal, namun ia diterima kerana ia diriwayatkan oleh Al-Bukhari, malah dipegang oleh para ulama Huffaz, serta hadis ini adalah pada bab manaqib dan keistimewaan, bukan pada bab Halal dan Haram. Para penuntut ilmu agama tentu sekali tahu perbezaan istidlal (pengambilan dalil) dengan hadis pada bab manaqib atau ahkam.

Nota Kaki : 1) Hadis di atas diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya, pada Kitabunnikah, dan dinaqalkan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fathul Bari. Ia turut diriwayatkan oleh Al-Imam Abdul Razaq As-Son'ani dalam Al-Musannaf Juzuk 7, halaman 478, Al-Hafiz Al-Baihaqi dalam Ad-Dalail, Ibn Katsir dalam Sirah Nabawiah dari Kitab Bidayah, Juzuk 1 halaman 224, Ibnul Badi' As-Syaibani dalam Hadaiqul Anwar, Juzuk 1 halaman 134, Al-Hafiz Al-Baghawi dalam Syarhissunnah, Juzuk 9, halaman 76, Ibn Hisyam dan Assuhaili dalam Raudhul Anf, Juzuk 5 halaman 192, Al-'Amiri dalam Buhjatul Mahafil, Juzuk 1 halaman 41.



Sambungan...

1 comment:

Anonymous said...

although I didn't understand the language of the website, it seems very good efforts have been put there..
and very nice pictures..
just I want to comment on the picture that has a salah upon the prophet Mohammad.. it should be صلّ and not صلّي.. this is the only comment that I have..