Saturday, July 08, 2006

Bahagian 1 (Samb. (3) )

Adakah disyaratkan sambutan tersebut dengan berpuasa sahaja?


Jika ditanya kepada kita, Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam menyambut kelahiran baginda dengan berpuasa, mengapa pula anda semua pada hari ini menyambutnya dengan cara-cara lain seperti memberi makan, membaca sejarah hidup baginda, dan lain-lain lagi perkara baik yang tidak dilakukan oleh Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam? Bukankah ini satu bid'ah? Apa jawapan kita?

Sesungguhnya perkara ini merujuk kepada soal 'bagaimana' atau 'cara' sambutan tersebut. Soal ini adalah soal ijtihadiah dan bukanlah perbincangan kita di sini. Kerana persoalan kita adalah, adakah dibenarkan berusaha untuk menyambut kelahiran Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Adakah ia sabit atau pun tidak? Adapun bagaimana disambut dan bagaimana dimuliakan kelahiran tersebut adalah terbuka buat ummah ini berdasarkan ijtihad mereka, pandangan dan idea mereka serta keadaan masing-masing.

Contoh bagi perkara-perkara ijtihadiah yang mana masalah asalnya sabit dan soal 'bagaimana' dan 'bentuknya' ditinggalkan kepada ummah, amat banyak sekali. Antara yang paling utama sekali adalah Al-Quran Al-Karim yang tiada seorang pun bercanggah pada soal keutamaannya, keutamaan menghafalnya, kemuliaan mengajarkannya serta kehormatan mereka yang menghafaznya dan mengajarkannya. Namun begitu adakah di sana terdapat cara atau jalan yang mesti diikuti untuk mengembangkannya, mengajarkannya atau menghafalnya?

Jawapannya kembali kepada pembaca. Realiti yang berlaku hari ini jelas sekali kelihatan di sana sini, sekolah-sekolah dan institusi untuk belajar dan menghafal Al-Quran. Terdapat saban waktu Majlis Tilawah Al-Quran. Kita boleh dapati kaset, cd dan apa-apa alat moden dicipta khas untuk Al-Quran. Mushaf-mushaf Al-Quran pula diterbit dan dicetak dalam pelbagai bentuk dan warna seperti cara bacaan dan hukum tajwidnya, khas untuk membantu para pembaca. Sedangkan adakah semua ini ada pada zaman Rasulullah?

Begitulah apa jua perkara yang termasuk dalam kategori ini. Apa yang penting adalah asasnya adalah sabit mengikut syara'. Cara sambutan diserahkan kepada ummah mengikut kesesuaian mereka dengan syarat tidak melanggar hukum syara' yang sudah pasti.


Bersambung : Bahagian 2 : Dalil Keharusan Sambutan Maulid Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam