Wednesday, July 05, 2006

Bahagian 1 (Samb.)

Sekilas sejarah sambutan Maulid Nabi..



Siapakah orang yang pertama menyambut Hari Kelahiran Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam? Jawapannya adalah tuan kepada kelahiran ini sendiri iaitu Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, seperti mana tercatat dalam hadis sohih, yang diriwiyatkan oleh Imam Muslim : Ketika Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam ditanya mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, baginda menjawab : Itulah hari kelahiranku.

Ini merupakan dalil yang paling kuat dan jelas pada pensyariatan sambutan Maulid Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Kita tidak perlu untuk memalingkan pandangan kepada mereka yang mendakwa bahawa orang yang pertama menyambutnya adalah kerajaan Fatimiyyah, kerana kenyataan ini samaada kerana kejahilan mereka atau sengaja membutakan diri dari kebenaran.

Al-Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani berkata : Aku mengeluarkan hukum sambutan ini berdasarkan kepada dalil yang sabit iaitu apa yang terdapat di dalam Sohihain (Sohih Bukhari dan Muslim), bahawasanya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam ketika berhijrah ke Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura'. Lalu baginda bertanya mereka. Mereka lalu menjawab, itulah hari Fir'aun ditenggelamkan dan Musa diselamatkan. Maka kami berpuasa sebagai bersyukur kepada Allah Ta'ala. Maka Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam : Kami lebih layak bagi Musa daripada kalian.

Ibn hajar berkata lagi : Maka diambil pengajaran daripada hadis ini, perbuatan bersyukur ke atas apa yang Allah kurniakan pada hari tertentu dari kurniaan nikmat atau mengangkat bala', dan diulang-ulang pula perbuatan demikian pada hari tersebut pada setiap tahun. Dan bersyukur pada Allah boleh terhasil dengan pelbagai cara ibadah seperti sujud, puasa, sedekah dan membaca Al-Qur'an. Apakah pula nikmat yang lebih besar dari lahirnya Nabi ini, Nabi yang membawa Rahmat, pada hari tersebut? Allah Ta'ala ada berfirman :


"Allah telah memberikan kurniaan kepada orang beriman ketika mana diutuskan Rasul dari kalangan mereka sendiri."

Al-Imam Al-Hafiz Jalaluddin As-Sayuthi pula berkata: Aku mengeluarkannya pula berdasarkan dalil yang lain, iaitu apa yang disebutkan oleh Imam Al-Baihaqi dari Anas bahawasanya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah membuat aqiqah untuk diri baginda sendiri, sedangkan datuk baginda Abdul Mutalib sudah pun membuatkan aqiqah untuk baginda. Seperti mana maklum, aqiqah tidak dilakukan melainkan sekali. Maka diistinbat darinya bahawa perbuatan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam tersebut adalah untuk menzahirkan rasa bersyukur atas sebab Allah mewujudkan baginda sebagai rahmat kepada seluruh alam, dan sebagai mensyariatkannya kepada ummat baginda.

Imam Sayuthi berkata lagi : Maka digalakkan bagi kita juga untuk menzahirkan rasa syukur dengan kelahiran baginda Sallahu 'Alaihi Wasallam dengan mengumpulkan masyarakat dan memberikan makan serta apa-apa cara mendekatkan diri dengan Allah dan melahirkan kegembiraan.

Maka di sini jelaslah kepada kita sesungguhnya yang memulakan sambutan kelahiran Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah Baginda sendiri berdasarkan hadis-hadis dan kata-kata ulamak hadis di atas.


Bersambung : Adakah disyaratkan sambutan tersebut dengan berpuasa sahaja?