Wednesday, January 12, 2005

...Mencari mutiara di dasar lautan...

Mendapatkan solat yang khusyuk umpama mencari mutiara di dasar lautan, sangat sukar dilakukan dan diperolehi tetapi semua muslim amat mengimpikannya dan tidak kurang pula mukmin yang berusaha keras memilikinya.....

Gangguan syaitan tidak boleh dielak tetapi gangguan itu boleh dikurangkan kalau seseorang itu boleh menutup pintu utama daripada dimasuki syaitan. Pintu utama yang dimaksudkan ialah hati.Pintu ini mesti dikawal rapi oleh pengawalnya.

Soalnya siapakah pengawal pintu hati itu? Tiada lain, pengawalnya ialah iman. Iman yang kuat tentu mampu mengawal pemiliknya daripada dicerobohi oleh syaitan.Sebaliknya kalu iman lemah,syaitan boleh membolos masuk dengan mudah sahaja.

Ketahuilah iman yang lemah akan bertambah lemah kalau jalan-jalan ke arah pintu itu tercemar. Kerana itu, jalan itu juga mesti ditutup.Jalan yang dimaksudkan ialah tabiat kerja gopoh dan sikap ego.

Kalau seseorang itu gopoh dalam tindakan nescaya akan berlaku kegagalan atau ketidak sempurnaan dalam kerjanya. Apabila berlaku semua itu, maka akantimbullah sikap marah dan sebagainya. Marah itu hakikatnya adalah angkara syaitan.

Manakala orang yang ego pula sentiasa memandang orang lain lemah dan hina,hanya dia seorang sahaja yang baik dan elok untuk dicontohi. Apabila ini terjadi, pasti dia tidak akan mengaku kalah walaupun hakikatnya dia sudah kalah. Kalaulah di masa itu dia berjaya dikalahkan oleh pihak lain, nescaya dia akan marah kerana malu. Inilah petanda bahawa syaitan telah melalui jalan itu.

Apabila penyakit ini menguasai diri seseorang, nescaya dia akan terbawa-bawa ke dalam solat. Sebaik sahaja kita mengangkat takbir, datanglah gangguannya. Segala yang berlaku sebelum solat diulangi ingatannya dalam solat.

Sebab itu kita pernah mendengar bahawa ada hamba Allah yang dapat mengetahui kedudukan barangnya yang hilang ketika bersolat. Bahkan menjadi pengalaman semua orang, apabila mula bersolat, maka mulalah mereka teringatkan apa yang dilakukan sebelumnya. Malah ada yang berkhayal sepanjang tempoh solatnya.

Ketahuilah ingatan itu walaupun tidak membatalkan solat tetapi amalan itu dikira oleh Allah sebagai amalan orang yang lalai. Orang yang lalai sebegini, Allah janjikan untuknya neraka Wail. Bayangkan kalau seseorang itu solat dalam keadaan tidak khusyuk dan lalai dalam setiap ibadah solat mereka boleh dicampakkan ke dalam neraka Wail, betapa pula kalau mereka itu melakukan kerja haram hingga meninggalkan solat. Tentu lebih dahsyat hukumannya di sisi Allah!

Akan tetapi kalau seseorang yang berkhayal dan lalai dalam solat hingga terkeluar kata-kata yang dapat didengar oleh telinga sendiri, maka hal itu boleh membatalkan solat. Walaubagaimanapun, kata-kata yang terkeluar itu disyaratkan boleh difahami maknanya.Soal kata-kata yang memberi makna baik atau buruk tidaklah menambah hukum. Ertinya tidak kira sama ada kata-kata itu baik mahupun buruk,ia tetap boleh membatalkan solat.

Justeru itu, hindarilah diri kita daripada gangguan di atas khususnya sebelum menunaikan solat.Tumpukan sepenuh hati dalam mengerjakan solat seperti kita sedang berhadapan dengan Allah s.w.t.

No comments: