Thursday, April 08, 2004

........Kaya Hati...........

Bagi orang yang kaya hati, ada harta atau tidak ada harta, ada kekayaan atau tidak ada kekayaan, sama sahaja padanya. Kaya atau miskin tidak menyusahkan hatinya dan tidak menggugat jiwanya. Sama ada dia dipuji atau dikeji, dimuliakan atau dihi na, sama sahaja baginya. Dia tidak merasa bangga dan tidak pula berkecil hati atau cacat hatinya.

Orang yang kaya hati, imannya kuat. Keyakinannya kental. Akhirat adalahh matlamatnya. Dengan dunia ini, ada atau tidak ada, sama sahaja baginya,. Bagi orang yang kaya hati, dunia ini suatu yang mudah. Dia merasa cukup dan puas dengan apa yang ada. Banyak atau sedikit serupa sahaja. Orang yang kaya hati merasa cukup dengan Tuhan. Dia merasa kaya dengan Tuhan. Kalau dunia dan harta ada di tangan, dia susah hati kerana ini bererti tanggungjawab yang berat terhadap agama dan masyarakat yang perlu dipikul. Dia takut kalaukalau tanggungjawab itu tidak dapat dilaksanakan. Kalau harta itu dapat diberi kepada orang yang memerlukan dan dapat dikorbankan ke jalan Allah, maka terhibur jiwanya dan lapang dadanya. Kalau ini tidak dapat dilakukan maka susah hatinya. Harta dan dunianya di tangan tetapi tidak di hati. Kalau dunia dan harta tidak dimiliki, senang hatinya kerana tanggungjawabnya ringan.

Dia tenang dengan ujian dan kesusahan. Dia tidak digugat oleh hal-hal dunia yang menimpanya sama ada yang berbentuk nikmat dan kesenangan mahupun yang berbentuk ujian dan kesusahan.Dunianya tidak dapat melalaikannya dari Tuhan dan dari tanggungjawabnya.
Orang yang kaya hati tidak merasa "inferiority complex" atau hina diri dengan orang kaya atau raja, orang cerdik pandai, orang yang berkuasa dan sebagainya. Dia memandang semua manusia semuanya setaraf sahaja. Pada dia, martabat manusia diukur mengikut iman dan taqwanya dan bukan dengan ukuran dunia.

Orang yang kaya hati, kalau mereka kaya harta, ramai orang boleh menumpang dan mendapat manfaat dari kekayaannya. Dia tidak merasakan kekayaan itu miliknya dan oleh itu mudah baginya membelanjakannya. Fakir miskin terbela, orang susah dibantu, orang yang memerlukan diberi, dan orang yang berhutang diselesaikan hutangnya. Dia menjadi 'bank' kepada masyarakat.