Showing posts with label Motivasi Diri. Show all posts
Showing posts with label Motivasi Diri. Show all posts

Monday, January 02, 2012

Catitan Baru 2012.



Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.
Allahhumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi.


Firman Allah ta'ala:

وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْماً

Berdoalah dengan berkata:"Wahai Tuhanku,tambahilah ilmuku".

Surah Toha:114.

Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

وإنّ العلماء ورثة الأنبياء,
إنّ الأنبياء لم يورّثوا ديناراً ولا درهماً ولكنْ ورَّثوا العلم،
فمن أخذ منه أخذ بحظّ وافر

Dan sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris nabi.Sesungguhnya para anbiya' tidak mewariskan dinar atau dirham akan tetapi mereka mewariskan ilmu.maka barangsiapa yang mengambil bahagian darinya(ilmu),dia telah mengambil bahagian yang lumayan.


Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi.

Pada tahun 2012...

Satu kelainan yang dilakukan dari tahun2 sebelumnya,saya sediakan 1 diary calender khas untuk tahun ini.Tujuan dari diari tersebut adalah untuk memastikan saya mencatit paling kurang 1 ilmu baru yang dipelajari dan menulis aktiviti harian yang dilakukan agar dapat dilihat kemana perginya 24 jam saya.

Sudah menjadi fitrah bahawa setiap orang akan gembira dengan ilmu dan kefahaman yang baru diperolehi setiap hari.

Kenapa?

Kerana ia adalah Warisan Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam.Segala yang diwariskan Rasulullah semuanya menjadi penyebab kebahgiaan kita dunia dan akhirat.

Kalau ahli dunia gembira dengan kekayaan atau harta yang diperolehi,maka para pencinta Rasulullah lebih2 lagi gembira dengan warisan yang diperolehi dari Rasulullah sollahu alaihi wasallam.

Maka rugilah seseorang yang harinya bertambah tetapi tidak bertambah ilmunya!

Ya Allah,berkati waktu kami yang berbaki ini...

Friday, September 23, 2011

Zaman Kegemilangan Kembali



Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi.



Firman Allah ta'ala:

يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ آمَنُواْ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat .

~Surah Al-Mujadalah:11.



Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين

Barangsiapa yang Allah mahukan baginya kebaikan,maka dia akan difahamkan kepadanya dalam urusan agama.


Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.


Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah.

Setelah lebih kurang 6 tahun,pengajian kitab bersama mufti terhenti kerana keadaannya yang tidak mengizinkan.Selalu guru kami menceritakan kepada kami akan pengalaman mereka menghadiri majlis ilmu Mufti.Sehingga terdetik dalam hati:"Untungnya orang2 terdahulu yang Allah berikan mereka kesempatan itu."Dan alhamdulillah... Allah kembalikan zaman itu, malah mungkin lebih baik.

Imam besar ,Syeikh Al-Azhar juga akan kembali mengajar di Masjid Al-Azhar Al-Syarif dan ditambah pula dengan pembacaan kitab2 besar turath bersama ulama2 besar Al-Azhar Al-Syarif yang akan disemarakkan semula disana seperti tafsir Al-Kasyyaf oleh Imam Zamakhsyari dan banyak lagi.

Maka,jagalah nikmat ini agar ia ditambah dan berkekalan.Jika tidak,akan ditarik semula kerana tidak bersyukur.Tanda syukur adalah kita rebut peluang yang Allah telah berikan kita dengan sebaik mungkin.

Sheikh Ali pernah sebut dalam pengajiannya baru2 ini:

"Kebaikan ummat ini akan kekal berterusan hingga ke akhirya.Alhamdulillah kerana Dia telah mengkhaskan kami menjadi ummat ini."

Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

مثل أمتي مثل المطر لايدرى الخير في أوله أو آخره

Perumpaan ummatku seperti hujan,tidak diketahui kebaikan itu di awalnya atau diakhirnya.


Riwayat Imam Al-Tirmizi dan Imam Ahmad.


Jadual Sheikh Ali Jumaah :-

Hari: Sabtu,Ahad ,Isnin.

Waktu: 8.00 -9.30 AM.

Kitab:
-Al-Ashbah wa Al-Nazoir oleh Imam Al-Suyuthi (qawaid).
-Al-Tamhid oleh Imam Al-Isnawi (usul + feqh).
-Ghayah Al-Wusul fi lubbi Al-Usul oleh Sheikh Zakaria Al-Ansori (usul feqh).

Pengajian Tafsir:-

Hari :Setiap Sabtu dan Jumaat.

Waktu: 10 PM

Tempat: Masjid Fadhil (Masjid Mufti) @ 6 october.
Add: مدينة (6) أكتوبر الحي المتميز منطقة غرب سوميد

Saya sangat mencintai Al-Azhar Al-Syarif dan para ulamanya.Moga ia juga mencintai saya sepertimana Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam mencintai jabal uhud dan jabal uhud juga mencintai Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam!!!

Ya Allah,Engkau peliharalah kaabah ilmu ini dan orang2 yang memperjuangkannya.

Bagaimana saya mahu balik ya Allah...dengan Al-Azhar sedang melalui zaman kegemilangannya?!Memang saya gila kerana tidak memahami perasaan orang lain dan mengutamakan perasaan cinta saya.

Engkau rahmatilah perasaan ini...
Sesungguhnya hanya Engkaulah pengubat jiwa yang lara...




Rakaman pengajian usul feqh oleh Sheikh Ali Jumaah @ Masjid Al-Azhar Al-Syarif.

Saturday, July 23, 2011

Kiblat Ilmu dan Ulama


Majlis bersama Sheikh Yusof Bakhour Al-Hasani di Cairo


Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi.


Firman Allah ta'ala:

وما بكم من نعمة فمن الله


Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu itu,maka ia adalah dari Allah.

Surah Al-Nahl :53


Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

إنما أنا قاسم والله يعطي

Hanyasanya aku yang membahagi-bahagikan dan Allah yang memberi.

Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Sheikh Muhammad Ibrahim Al-Kattani berkata:"Berdasarkan hadis tesebut,maka kadar pemberian Allah tergantung pada keterikatan/hubunganmu dengan Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam ".


Kata para Ahlillah:

ما راحتي إلا لقى الأحباب *هم ساداتي الواقفين في الباب

Aku tidak rehat kecuali bertemu orang-orang yang dicintai,
Mereka adalah kaum pembesar yang duduk di pintu taqarrub Allah.


Pada bulan July ini sangat istimewa buat saya kerana berbagai ulama dari pelbagai negara yang datang Mesir dan membuat majlis.Dan alfaqir ingin rakamkan disini agar diabadikan memori indah ini.

Pada 2 July 2011...

Sayyidi Al-Habib Ali Al-Jufri....

Majlis yang mengingatkan saya kepada Murabbi,Sayyidi Al-Habib Umar Ibn Hafidz.Majlis yang seseorang tidak akan keluar dari majlis tersebut kecuali dengan keadaan rohani yang baru.Allah...betapa saya amat merindui majlis2 sayyidi Al-Habib Umar ibn Hafidz.






Pada 4 July 2011...


Pembetangan thesis PHD Dr Usamah Sayid Mahmud Al-Azhari di kuliah usuluddin wa al-dakwah University Al-Azhar di cawangan Zaqaziq.Beliau memperolehi pangkat MUMTAZ (cemerlang) dengan kepujian pangkat pertama dan dinasihatkan untuk dicetak tesisnya dan disebar-sebarkan.

Bezanya sheikh Usamah dengan pelajar2 arab yang lain ketika munaqasyah adalah adabnya yang sangat tinggi ketika menjawab celahan dari penguji. Sangat istimewa majlisnya ini dihadiri oleh bintang-bintang agama dari Timur Tengah diantaranya:-


Dari Yaman; Al-Habib Ali Al-Jufri,
Jeddah; Al-Habib Mohammad Al-Saqqaf,
Syria; Syeikh Muhammad Abul huda Al-Ya'qubi,
Mesir; Syeikh Muhammad Muhanna, Syeikh Umar Hasyim, Syeikh Yusri, Syeikh Jamal faruq, Syeikh Sayid Syaltut,
2 wakil ulama dari Palestine
dan ramai lagi yang tidak saya kenali....

Ade seorang Dr. memberi ucapan : "Kejayaan sheikh Usamah bukan hanya 1 kemuliaan buat dirinya secara peribadi tapi kemuliaan buat Al-Azhar Al-Syarif."

Habib Ali kata :"Diantara sebab yang menarik beliau untuk hadir munaqasyah Dr Usamah adalah kerana Dr Usamah diantara ulama muda yang ilmunya melampaui umurnya,ilmunya tentang falsafah zaman sekarang dan peranannya dalam berkhidmat kepada Al-Azhar Al-Syarif."


Pada 1-5 July 2011...


Datang ulama dari Lebnon,Sheikh Yusuf Bakhour Al-Hasani.Istimewanya ia dibuat di rumah sheikh kami,Sheikh Mohammad Awad Al-Manqush.Sheikh membaca kitab gurunya,sheikh Sa'ad Al-Din salim Al-Murad.Sangat suka dengan pengajiannya kerana kita belajar bagaimana untuk menjadi sebenar-benar hamba Allah.Nak jadi sebenar-benar hamba Allah pun perlu belajar dari ahlinya.Berapa ramai yang banyak mujahadahnya tapi masih lagi kata2 dan perbuatannya itu berlaku biadab terhadap Penciptanya.


Pada 7 July 2011...

Majlis zikir bersama Sheikh Muhammad Abu Al-Huda Al-Ya'quobi sebelum beliau safar ke Britain di Masjid Sadat Wafaiyyah (berdekatan dengan Masjid Sheikh Ibnu 'Athoillah) .Berita gembira buat kami adalah sheikh akan datang ke Mesir lagi dalam 2-3 bulan lagi.

Teringat sewaktu ziarah para auliya' dan ulama di sekitar Cairo ini,beberapa bulan yang lalu, ada meniatkan untuk pergi ziarah Imam Ali Wafa' kerana dahulu pernah dibaca kitab beliau bersama Sheikh Yusuf tapi bukan rezeki kami pada ketika itu, tidak diketahui tempat ia disemadikan.Allah...rupanya bila datang ke majlis sheikh Muhammad,didapati bahawa disitulah tempat yang ingin dipergi pada waktu itu .


Pada 12 July 2011...

Setelah 25 january 2011,kami tidak berpeluang melihat dan berjumpanya secara LIVE.Sheikh Ali tidak lagi membuat rakaman pengajian tafsirnya di Masjid Al-Azhar.Akan tetapi alhamdulillah,akhirnya dapat juga ketemu pada rakaman program TV lain di Masjid Al-Azhar.

Setiap orang perlu rebut peluang...kerana kita tidak tahu,boleh jadi itu berlaku hanya sekali dalam seumur hidup kita dan ia tidak akan berulang lagi.




Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah...



جزى الله عنا سيدنا محمد صلى الله عليه و سلم ما هو أهله

Semoga Allah membalasi Sayidina Muhammad sollahu 'alaihi wasallam apa yang selayaknya buat dirinya dari kami (ummatnya).


Dialah (Rasulullah)...punca segala kebaikan yang kita perolehi.


Ya Allah,ampunkan segala kecuaian dan dosa hamba ini.
Bantu kami untuk mensyukuri nikmat2 yang Engkau bentangkan buat kami...

Thursday, June 23, 2011

Suria dari Syria



Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi.



Firman Allah ta'ala:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الكِتَابَ الذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا

Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami....

Surah Fatir:32


Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

Ya Allah rahmati para khalifahku,sahabat bertanya:Ya Rasulallah,siapakah para khalifahmu?Rasulullah berkata:Orang-orang yang datang selepasku meriwayatkan hadisku dan sunnahku dan mengajarkannya kepada manusia.

Riwayat Imam Al-Thabrani.



Alhamdulillah turunnya seorang bintang besar agama dari syria ke bumi Mesir membahagikan harta-harta pusaka Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam,Sheikh Muhammad Abu Al-Huda Al-Ya'quobi.

Sebenarnya alfaqir tidak begitu kenal sheikh,tapi kerana selalu disebut-sebut namanya oleh teman bahawa Sheikh selalu buat dowrah membaca kitab2 sunan di Syria. Dowrah tersebut biasanya bermula dari pagi hingga malam dan itu dilakukan setiap hari selama seminggu lebih atau kurang untuk mengkhatamkan kitab.

Dari tidak kenal..... hingga ingin mengenal dan akhirnya.... ingin bersamanya di majlis.

Pada ketika itu hanya berharap dapat turun syria mengutip mutiara dari para ulama sana dan menziarahi para sahabat Rasulullah dan ulama2 besar seperti Imam Al-Nawawi.Walau keadaan Syria sekarang ini tidak memungkinkan untuk kesana,tapi Allah hadiahkan kehadirannya di Mesir.Alhamdulillah.Kami dibertitahu bahawa majlisnya ini bukan yang terakhir dan sheikh akan mengkhaskan hari-harinya untuk turun ke Mesir ,memberi pengajian di Al-Azhar Al-Syarif.

Jika di setiap majlis pembacaan hadis,kita menghayati majlis tersebut sepertimana di majlis sheikh Mohammad Al-Yaqoubi,maka kita tidak akan keluar dari majlis itu kecuali dengan keadaan rohani (ahwal) dan hati yang baru.


Sheikh Ali Jumaah pernah berkata dalam pengajian tafsir beliau bahawa sayidina Umar radiallahu 'anhu mentarbiyah dirinya untuk tidak melakukan sesuatu kerana kebiasaan.


Kerana kita sudah terlalu biasa dengan melakukan sesuatu itu; iaitu membuatnya secara rutin tanpa penghayatan,hingga kita tiada perasaan dan tidak pula terkesan daripadanya.

Diceritakan salah seorang anak muridnya bahawa majlis yang sheikh adakan di Mesir ini sangat ringan ,tidak ketat peraturannya seperti majlisnya di Syria.Kalau di Syria,sheikh akan menyuruh kami duduk secara berlipat (seperti duduk antara 2 sujud ) selama 4-5 jam.

Dan diantara adab-adab yang beliau terangkan sebelum meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah :-

1)Mandi membersihkan diri.
2)Berwangi-wangian
3)Memakai pakaian yang terbaik yang dimiliknya.
4)Tidak boleh menoleh ke kanan dan kiri.
5)Buku tidak diletakkan di hadapan kaki tapi diangkatnya keatas.
6)Kaki tidak boleh mengelunjur.
7)Pencil/pen tidak diletakkan di atas lantai kerana ia merupakan alat tulis ilmu tersebut.Ia diletakkan di telinga.
8)Tidak boleh banyak bergerak.
9)Tidak berbual walau bertanya soalan.

Duduk di majlisnya seolah-olah dapat membayangkan bagaimana keadaan Imam Malik radiallahu 'ahu ketika ia meriwayatkan hadis2 Rasulullah dengan penuh ta'zim (keagungan).

Adab itu tidak diambil dari buku tapi diperolehi dari ahlinya.

Selama dowrah 4 hari (18- 21 /7/2011 ) di Masjid Al-Azhar Al-Syarif ini ....


Sheikh meriwayatkan kami hadis musalsal bi Al-Rahmah,mengkhatamkan kitab Al-Awail Al-Sunbuliyah (merupakan kumpulan hadis2 utama di setiap kitab2 sunan) dan Al-Hikam Al-Atoiyah.

Alhamdulillah tercapai juga hasrat untuk mengkhatamkan kitab Hikam bersama guru.

Sheikh kata:

"....Tujuan para syuyukh itu meriwayatkan hadis musalsal bi Al-Rahmah kepada para para muridnya sebelum menyampaikan ilmu supaya dimasukkan sifat rahmah itu ke dalam hati-hati mereka (anak murid)....


....Sewaktu kecil,ayah saya sudah menghafalkan dan diulang-ulang hadis ini kepada saya sepertimana para ibu bapa membiasakan anak2nya membaca surah Al-ikhlas,doa makan dan sebagainya...

....Kita membaca kitab Al-Awail Al-Sunbuliyah dengan harapan agar diberi taufiq untuk membaca semua kitab-kitab sunan yang ada....."

Diantara nasihat beliau sebagai muqaddimah:

-Hendaklah seseorang itu sibuk memperolehi ilmu terdahulu sebelum mengumpul pengriwayatan.

-Al-Azhar itu kiblat ilmu dan ulama.Dan bagi yang datang ke Al-Azhar itu,hendaklah datang dengan kerendahan hati bukan kesombongan.

-Ulama telah bersepakat bahawa universiti2 itu tidak mengeluarkan ulama tapi ia hanya membantu para penuntutnya untuk mengetahui apa yang perlu diketahui.Seseorang itu tidak menjadi ulama kecuali setelah bersohbah lama dengan syuyukh.

-Tidak boleh seseorang itu mengatakan sabda Rasululullah sollahu 'alaihi wasallam kecuali setelah mengetahui dari siapa ia diriwayatkan.

-Pengriwayatan itu wasilah bukan tujuan bagi penuntut ilmu.Ia hanya sebagai bantuan untuk mengikut sunnah Rasullah sollahu 'alaihi wasallam.

-Kalau disisi para ulama terdahulu,orang yang tidak membaca kutub sittah (kitab2 sunan yang 6) tidak dinamakan sebagai tolibul ilm (penuntut ilmu).


Pada malam khamis 22/6/2011 di Masjid Al-Asyraf @ Muqottam (Masjid Sheikh Yusri)...


Sheikh membacakan beit-beit syair karangan beliau sewaktu di pesawat menuju ke Mesir yang ditujukan kepada para salikin (orang2 yang menuju ke jalanNya) serta mensyarahkannya.
Antara kata-kata beliau:

المريد هو الذي يخرج عن إرادته إلى إرادة مولاه

Murid adalah seorang yang keluar dari kehendaknya kepada kehendak Tuhannya.



Ya Allah,sesungguhnya tiada yang lebih indah di dunia ini kecuali bersama dengan para kekasihMu..

Saturday, June 18, 2011

Buat Terbaik!



Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi.



Firman Allah ta'ala:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ
وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ


Dan katakanlah (wahai Nabi Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.

Surah Al-Taubah:106

Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه


Sesungguhnya Allah mencintai jika diantara kamu yang apabila ia melakukan suatu pekerjaan,ia membuatnya dengan terbaik.

Riwayat Imam Al-Baihaqi dan lain2 lagi.


Alhamdulillah walau saya tiada exam tetap terasa bahangnya kerana dikelilingi oleh orang2 yang ada exam.Memang seronok tiada exam.Akan tetapi disebalik tiada exam itu, rupanya ada tanggungjawab lain yang diberikan kepada saya.Allah tidak berikan 1 tanggungjawab itu diluar kemampuan hambaNya.Jadi,bukan suka-sukalah dengan tiadanya exam itu.

Sheikh Usamah pesan:

"Jadikan ayat al-Quran ini sebagai syiar yang menggerakkan semangat kita:
وقل اعملوا فسيرى الله عملكم و رسوله والمؤمنون"

Jadi,buatlah yang terbaik untuk exam kita.Walaupun ilmu itu bukan terletak di sijil dan pada fikiran masyarakat awam itu mencerminkan ilmu kita,akan tetapi kita bertanggungjawab untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan yang terbaik.Biarkan itu menjadi ukuran masyarakat awam,akan tetapi kita sebagai orang yang terpelajar tidak perlu jadikan itu sebagai standard ilmu kita malah kita merealisasikan qualiti sijil tersebut.

Ini terbukti dengan kita melihat sejarah para ulama kita.Walau ilmu mereka itu diluar dari standard sijil itu kerana mereka bukan sahaja pakar dalam takhassus mereka tapi mengetahui segala bidang ilmu.Kalau dari sudut sejarah keputusan peperiksaan mereka ketika di kuliah,hampir ke semuanya adalah merupakan diantara para pelajar cemerlang dan mendapat keputusan yang baik malah terbaik.Kerana mereka bermuamalah dengan konteks zaman sekarang bahawa sijil itu dinilai oleh orang.Tapi mereka tidak pernah menghadkan ilmu mereka itu di atas kertas peperiksaan saja.

Masalah besar adalah yang menghadkan ilmunya hanya pada sekeping kertas.Tidak mahu menambahkan ilmu mereka diluar kuliah dan buku kuliah.Yang penting lulus with flying colours dipandang orang mempunyai ilmu tapi hakikatnya bagaikan tin kosong.Sangat berani berkata tentang agama sedang dirinya tidak mahu menadah kitab dengan ulama. Sepatutnya orang yang terpelajar itu mengikut standard orang2 elit bukan mengikut standard orang awam dalam menilai ilmu seseorang itu.

Dan begitu juga, ia kurang tepat jika kita mengambil tindakan untuk berlaku sambil lewa terhadap exam kuliah kita dengan menganggap bahawa itu bukan ukuran ilmu kita,jadi tak perlu belajar bersungguh-sungguh,atau mudah rasa cukup dengan usaha 'asal pass'.

Sebenarnya ia juga merupakan tipuan nafsu.Kerana secara fitrahnya memang nafsu itu tidak suka dengan tekanan.Nafsu itu seronok dengan cara bersantai.Kita lebih santaikan jika kita mengambil ilmu itu tanpa exam?!Jadi , exam ini sebenarnya salah satu cara mentarbiyah diri kita...

Exam itu diletakkan bukan untuk perkara sia-sia.Ia berlaku atas peraturan dan taqdirNya. Sesuai dengan zaman kita ini yang dimana kecuaian dan kelemahan kita memaksa kita untuk menduduki peperiksaan.Tanpa periksa,kebanyakkan kita takkan ulangkaji pelajaran atau sedaya upaya untuk fahamkan ilmu tersebut.Kalau tak tekan,tak jalan!

Lebih indah dan bersemangat lagi...

Jika kita sedar bahawa result kita itu dipamerkan pada Rasulullah bukan hanya untuk memuaskan hati ibu bapa dan masyarakat.Takkan kita nak Rasulullah lihat keputusan kita yang ianya hasil dari kecuaian kita dan sikap endah tak endah kita?Sedangkan Rasullullah suka ummatnya buat yang terbaik!

Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

عُرِضَتْ عَلَيَّ أَعْمَالُ أُمَّتِي حَسَنُهَا وَسَيِّئُهَا

Dipamerkan kepadaku amalan ummatku kebaikan dan kejahatannya.
Riwayat Imam Muslim.

Yang paling penting adalah buat yang terbaik dan natijah yang terbaik itu bukan urusan kita.Jika kita sudah buat yang terbaik,akan tetapi bukan rezeki kita untuk mendapatkan natijah yang terbaik,maka hendaklah redha dengan bahagian masing2.

Ya Allah, Jadikan amalan kami itu sesuatu yang menyejukkan hati Kekasih AgungMu...

Friday, June 10, 2011

Menadah Mutiara dari Pewaris Rasulullah



Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi.



Firman Allah ta'ala:
وقرآن الفجر إن قرآن الفجر كان مشهوداً

The recital [of the Qur’ān] at dawn, the morning prayer. Verily the dawn recital is ever witnessed, it is witnessed by the angels of the night and the angels of the day.


Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

اللهم بارك لأمتي في بكورها

Ya Allah,berkati ummatku di waktu paginya.


Riwayat Imam Ahmad.

Diantara cara menambahkan kecintaan terhdap Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

Membaca kutub sittah (apa yang termampu) sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.



Subhanallah...tadi semasa pengajian kitab Muwatta' sheikh Yusri,beliau menceritakan jangka waktu yang diambil untuk membaca hadis-hadis Sunan.Sheikh berkata bahawa beliau mengkhatamkan bacaan sunan serta syarah:-
11 tahun untuk Musnad Imam Ahmad,
5 tahun bagi kitab Al-Minhaj (syarah sohih muslim oleh Imam Nawawi),
4 tahun setengah bagi kitab Tuhfah Al-Ahwazi (syarah sunan Tirmizi),
16 bulan bagi sunan Abi Daud,
11 tahun (iaitu hingga sekarang ini di Masjid Al-Azhar ) bagi sohih Al-Bukhari,

Dan sekarang masih membaca Muwatto' setiap selepas solat jumaat,dan sudah mula membaca Sunan An-Nasai' pada setiap pagi,baki kitab sunan Ibn Majah.Dan Insya Allah akan terus hidup dengan nafas Rasulullah sehingga bertemu Allah azza wa jalla.Allah....

Dan ini semua diistiqamahkan dalam membacanya selepas solat subuh hingga waktu isyraq.Bermula rutin ini sejak beliau di kuliah dan sudah terbiasa untuk tidak tidur selepas subuh dan 'ketagih' untuk membaca hadis2 Rasulullah pada waktu itu.

Sheikh ingin menunjukkan disini bahawa betapa ajibnya kata2 Rasulullah bahawa barakah itu pada awal pagi sehingga dengan waktu yang singkat dan istiqamah itu, dapat mengkhatamkan kitab2 sunan tersebut.

Tambahan sheikh :"Jangan peduli dengan bilangan orang yang datang,yang penting baca walau tiada orang yang hadir.Pernah 3 orang saja yang hadir dan yang mendengarnya dari kalangan orang2 tua.Biasakan diri untuk tidak terus keluar dari tempat solat/masjid hingga waktu isyraq.Mengisinya dengan zikir dan membaca kitab."

Dan itulah apa yang diajarkan oleh para murabbi sepertimana juga ia dibuat oleh sayyidi Al-Habib Umar di Dar Mustafa/Dar Al-Zahra' di Tarim Hadramaut buat anak didiknya. Ajib...

Jauh sangat cara kehidupan kita dengan Mereka.Bagaimana kita boleh dapatkan itu sedang kita buka Facebook itu lebih lama dari buka Al-Quran atau Hadis dan kita mulakan hari kita pun bukan dengan membuka 2 sumber agung itu tapi membuka Facebook terdahulu!

Kesempatan di Mesir ini sangat berharga.Kitab-kitab Sunan dibaca di merata tempat di sekitar Al-Azhar Al-Syarif.Alhamdulillah...Itulah isitimewanya Mesir!
Kekadang orang tak faham kenapa tak sambung pengajian di tempat lain saja yang sistem universitinya itu jauh lebih baik.Sebenarnya bukan universitinya tapi sekitar universitinya.

Jika terdetik "Bila nak habis kitab2 sunan ini sebelum balik?dengan sheikh baca sedikit demi sedikit serta syarah?"

Kalau sheikh bertahun-tahun lamanya untuk mengkhatamkan itu semua,tapi kita ini yang hanya 4 tahun atau lebih mahu tergesa-gesa???Be realistic dan beradab dengan ilmu itu!

Walau kita tidak dapat mendengar kitab sunan2 tersebut dari awal hingga akhir dari mulut para syuyukh itu ,hanya setakat "celup sana sikit,celup sini sikit",tetapi sekurang-kurangnya kita sudah diberi kunci dari para masyayikh untuk meneruskan pembacaan sunan2 itu di kemudian hari bila balik ke tanahair nanti.

Dari situ ,kita mulakan pembacaan kitab2 sunan itu mula dari keluarga kita.Allah...Semoga kami dapat ikuti jejak langkah guru kami ini.

Masalah besar: Membacanya tanpa diberikan kunci oleh Mereka,para masyayikh yang mempunyai sanad yang bersambung hingga Rasulullah.

Kekadang sedih juga; bagaimana untuk kita tidak miss walau sehadis dari mulut para masyayikh kita.Walau kita berusaha untuk tidak ponteng pengajian ,tetap akan juga ada 'rongak'nya.Ini semua mengajarkan kita bahawa kesempurnaan itu hanya milik Allah.

Sheikh Awad pernah berkata:

السماع رزق فيرضى لكل واحد رزقه

Mendengar hadis itu rezki.Maka setiap orang itu perlu redha akan bahagian rezekinya.

Tambahan beliau:

"Kita tidak akan dapati pendengaran hadis itu secara sempurna kecuali sedikit dan jarang.Berapa ramai yang mendengar secara sempurna,berbangga dengannya dan Allah tidak berkati pendengaran hadis tersebut dan rehlahnya itu.Sedekah Allah itu diberikan untuk orang terasa dirinya faqir bukan orang yang bangga."

Syeikh telah memujuk hati ini...


1 sebab utama "Kenapa kita SANGAT PERLU merebut majlis pembacaan hadis bersama para Syuyukh" adalah untuk MENGENALI RASULULLAH sollahu 'alaihi wasallam dengan maqam yang selayaknya sebagai kekasih Allah!

Merekalah yang mengajarkan kita adab terhadap Rasulullah kerana berapa ramai yang membaca hadis2 Rasulullah tapi tidak beradab dengan Rasulullah!Semoga Allah mengurniakan kita adab Rasulullah sollahu alaihi wa sallam.

Syekh 'Awad Al-Manqoush حفظه الله berkongsi 6 tips bagi mereka yang ingin menambahkan kecintaan kepada Sayyidina Rasulullah :

1)Membaca sirah Rasulullah sekurang-kurangnya 8 kali

2)Membaca Syamail Muhammadiyah sekurang-kurangnya 4 kali

3)Membaca kutub sittah (apa yang termampu) sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

4)Berselawat ke atas Rasulullah sekurang-kurangnya 100 kali pada waktu pagi dan 100 kali pada waktu petang.

5)Melazimi majlis muhibbin(para pencinta) Rasulallah.

6) Makan tamar Madinah (kerana padanya turbah Al-Madinah)


Ya Allah,Sepertimana apa yang Engkau berikan kepada hamba2Mu yang soleh,jangan engkau mengharamkan kami dari memperolehinya...

Wednesday, May 18, 2011

Bintang Menyinari Bumi Mesir

Majlis Pembacaan Hadis Sunan Al-Tirmizi di lapangan Masjid Besar Al-Azhar Al-Syarif.

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi.


Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:


نضر الله وجه امرئ سمع مقالتي فحفظها ووعاها وبلغها من لم يسمعها

"Allah menyinari wajah seseorang yang mendengar kalamku kemudian menghafalnya dan memahaminya dan menyampaikannya kepada yang tidak mendengarnya..."

~Riwayat Imam At-Tabrani.


Alhamdulillah...

Al-Azhar kini kembali menghidupkan majlis pembacaan hadis.Yang dahulu dihidupkan semula oleh Sheikh Ali Gumaah(sebelum menjawat jawatan mufti),dan setelah beliau menjadi mufti,ia terhenti.Kemudian sekarang ini,diteruskan perjuangan itu oleh guru kami,Sheikh Usamah Sayyid Mahmud Al-Azhari,anak murid kesayangan Sheikh Ali Guma'ah.

Majlis Pembacaan Sunan Al-Tirmizi yang dibimbing oleh sheikh Usamah Sayyid Mahmud Al-Azhari setiap hari ahad jam 8.00 am,isnin dan selasa jam 7.30 am.Seronok!Bukan hanya membaca hadis tapi juga meyelami cara Imam Tirmizi meriwayatkan hadis.Allah..

Subhanallah...
Itulah kalimah yang tak terputus dari bibir ini setiap kali melihatnya dan mendengarkan ilmu yang disampaikan olehnya.Sungguh Ajib dengan keilmuan beliau.Yang apabila difikirkan,bagaimana beliau boleh menjadi seperti itu dalam usia yang sangat muda???Allah...

Kalau tidak melalui mereka awak mendapat inspirasi,Maka siapa lagi????Jadi...Bersamalah dengan para ulama!

Teringat kata Sheikh Ashraf Al-Mikawi ketika diundang dalam majlis tersebut:

"Hendaklah kamu melazimi guru kalian ini,Sheikh Usamah,yang Allah hadiahkan dia kepada kalian pada zaman ini.Bersyukurlah!sesungguhnya jika kalian bersyukur,maka Allah akan tambahkan nikmat tersebut."


Habib Umar Ibn zein pernah berkata dalam pengajiannya:

"Diantara ulama yang Allah berikan ilmu pada waktu muda adalah sheikh Usamah Sayyid Al-Azhari."

Alhamdulillah diberi kesempatan alfaqir untuk bertemu pada zaman kegemilangan Al-Azhar ini.



Semoga jejaknya kaki kami di tempat dimana jejaknya para pembesar ulama Al-Azhar ini,kami dikurniakan asrar,nafahats mereka serta mengikut jejak langkah mereka....Amin!

Sheikh Usamah Al-Azhari kata:-

"Hakikatnya Al-Azhar Al-Syarif terdiri atas 3 ASAS :
1-Ilmu,
2-Ibadah,
3-Dakwah".


P/s:Jom para Azhariy...kita merealisasikan 3 asas ini dalam diri kita sepertimana ia merupakan asas bagi para ulama Al-Azhar Al-Syarif Rabbani.


Ya Allah bantu hambaMu ini dalam mensyukuri nikmatMu ini...

Monday, May 09, 2011

Penyejuk Hati Rasulullah



Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi.


Firman Allah Ta'ala:
وَأَقِمِ الصَّلاةَ لِذِكْرِي

"...dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku."

Toha:14

Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

وجعلت قرة عيني في الصلاة

"...dan dijadikan solat itu suatu yang menyejukkan hatiku."

Riwayat Imam An-Nasai.


Video ini terdapat 25 episods.Cuba isitiqamahkan dalam sehari,1 episod.kalau kita boleh khaskan setiap hari,sejam untuk menonton TV atau movie,kenapa tidak?! kita tidak boleh khaskan waktu yang sedikit demi memperbaiki hubungan kita dengan Pencipta kita
????Ajib....

Tujuan dari menonton video ini:

-Redha Allah

-Perbaiki keadaan solat kita dalam masa yang sama, hubungan kita dengan Allah s.w.t.

-Menghayati setiap gerak geri solat kita.

-Menghubungkan solat kita dan solat Rasulullah seolah2 kita sedang berimamkan Rasulullah dalam solat.

-Merasai apa yang Rasulullah rasai dari kelazatan bermunajat kepadaNya.

-Mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.

Yakin! Dengan usaha yang kecil ini ,iaitu dengan melihat video ini dan mengamalkannya,Insya Allah kita dikurniakan solat para ahli muqarrabin (orang2 yang mendekatkan diri kepada Allah).

Jika DIA mahu memberi,DIA tidak peduli siapa diri kita kerana pemberianNya itu tidak sedikit pun menjejas kekayaanNya yang maha agung!!!


Allah berfirman dalam Sabda Rasulullah:

أنا عند ظن عبدي بي

Aku menurut sangkaan hambaKu.

Kata Imam Ibn Atoillah :

متى أطلق لسانك بالطلب , فاعلم أنه يريد أن يعطيك

Apabila lisanmu tergerak untuk meminta,maka ketahuilah bahawasanya DIA mahu memberi kamu (permintaanmu itu).

Kata Habib Muhammad As-Saqqaf dalam salah sebuah video:

"Ketahuilah bahawasanya tidaklah Allah menggerakkan kita untuk mempelajari solat para ahli muqarrabin kecuali DIA mahu memberikan kepada kita solat tersebut."

Jom kita memperbaiki solat Kita...Tiada siapa yang boleh merasa aman bahawa solatnya itu diterima oleh Allah.

Ya Allah,Kurniakan kami solat ahli Muqarrabin sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Tuesday, March 15, 2011

Seruan Jihad!

Bismillah Ar-Rahman Ar- Rahim.
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'alihi.

Firman Allah ta'ala:

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ

وَأَمْوَالٌ ٱقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ

كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَآ

أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ

حَتَّىٰ يَأْتِيَ ٱللَّهُ بِأَمْرِهِ

وَٱللَّهُ لاَ يَهْدِي ٱلْقَوْمَ ٱلْفَاسِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

~Surah Al-Taubah:24.



Firman Allah ta'ala:

يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلْتُمْ

إِلَى ٱلأَرْضِ

أَرَضِيتُمْ بِٱلْحَيَاةِ ٱلدُّنْيَا مِنَ ٱلآخِرَةِ

فَمَا مَتَاعُ ٱلْحَيَاةِ ٱلدُّنْيَا فِي ٱلآخِرَةِ إِلاَّ قَلِيلٌ

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. "

~Surah Al-Taubah:34.


Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

من خرج في طلب العلم فهو في سبيل الله حتى يرجع

Barangsiapa yang keluar untuk menuntut ilmu,maka dia berada di jalan Allah sehingga dia pulang.

~Riwayat Imam Al-Tirmizi.



Seruan untuk pulang ke Mesir sudah kedengaran...

Cuba kita tanya HATI kita,

Bagaimana respon hati kita???

Teringatkan cerita seorang sahabat Rasulullah,Sayidina Handzolah yang pada malam hari perkahwinannya,seruan jihad berkumandang.Memanggilnya untuk meninggalkan segala kenikmatan dunia demi Allah dan Rasullah.Dan dia meninggalkannya tanpa ragu2 lagi kerana dia tahu siapa yang sedang memanggilnya....Allah!

Adakah kamu faham akan panggilan tersebut???

Hayati ayat2 suci tersebut dan fahamilah!

Ya Allah,Matikan kami dalam keadaan kami sedang berjuang di jalanMu....

Monday, January 24, 2011

Rindu

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi.



Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

لغدوة أو روحة في سبيل الله خير من الدنيا وما فيها

'Keluar di waktu pagi (selepas subuh hingga terbit matahari) atau keluar di waktu petang (selepas asar hingga Marghrib) di jalan Allah lebih baik dari dunia dan seisinya'.

~Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.



Sabda Rasululllah sollahu 'alai wasallam:

من صلى الفجر في جماعة، ثم قعد يذكر الله تعالى حتى تطلع الشمس، ثم صلى ركعتين، كانت له كأجر حجة وعمرة تامة تامة تامة
Barangsiapa yang menunaikan solat fardhu subuh berjemaah,kemudian duduk berzikir kepada Allah hingga terbit matahari(syuruq) dan solat 2 rakaat,Baginya ganjaran seperti ganjaran haji dan umrah secara sempurna,secara sempurna, secara sempurna.

~Riwayat Imam At-Tirmizi.


Di Dar Az-Zahra'...
Setiap pagi,
Selepas solat subuh secara berjemaah,
Baca zikir,
Kemudian ikuti pengajian Habib Umar @ Darul Mustafa membaca kitab "Tarbiyah Al-Awlad" oleh Sheikh Abdullah Nasih Ulwan,
Hingga waktu syuruq,
Selesai pengajian Habib dan terus solat sunat 2 rakaat.

Ajib...Setiap apa yang Habib Umar Ibn Hafidz susunkan rutin seharian kami disana,semuanya mengikut petunjuk Rasulullah!!!


Habib Ali Al-Jufri kata (bermaksud) :

"Jangan keluar DARI Darul Mustafa TAPI keluar DENGAN Darul Mustafa."

Iaitu dimana saja awak berada,awak buat apa yang awak telah lakukan secara rutin di Dar.

Bagi perindu suasana itu....

Kalau mahu lakukan sepertimana yang dilakukan disana,maka boleh ikuti pengajian kitab itu yang disyarah oleh Al-Habib Umar disini! (click) .Insya Allah,alfaqir akan upload disitu.
Tidak mengapa kita 'feeling-feeling' sendiri.

Teringat zaman2 awal belajar disana (sebelum ke Mesir)...

Selepas menunaikan solat subuh,kami kemudiannya berzikir .Ada 1 part ini,kami akan bersalaman dengan teman2 kami sambil berzikir.Maka,selesai saja bersalaman,saya akan cari tiang tembok untuk disandar agar berpeluang tidur sambil berzikir.

Bayangkan...antara zikir 5 waktu,zikir yang paling panjang adalah zikir subuh.Lebih kurang selama sejam setengah.Sedangkan waktu itulah waktu orang paling ngantuk.
Memang syaitan telah menguasai diri ini kerana bila zikir sedang dibaca,saya tidur dan akan terjaga dengan sendirinya, exactly bila zikir selesai.

Saya hanya mampu tersenyum mengenang masa zaman jahiliyah saya...

Rupanya,apa yang disusun oleh sayyidi Al-Habib Umar, tiada lain kecuali untuk mentarbiyah kita untuk menjaga waktu2 istimewa yang Rasulullah mewasiatkannya untuk kita jaga dan rebut.


Sekadar perkongsian untuk melatih diri sendiri agar tidak selepas solat subuh..

Pastikan kita melepaskan 3 ikatan syaitan setelah bangun dari tidur :

1)Membaca doa bangun tidur.

2)Berwuduk (termasuk istinsyaq n istinthar secara khusus).

3) Solat.

Kalau kita buat ini,insya Allah kita akan terbebas dari bermalas-malasan di waktu pagi yang sepertimana disabdakan oleh Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

يعقد الشيطان على قافيه رأس أحدكم إذا هو نائم ثلاث عقد، يضرب على كل عقدة مكانها، عليك ليل طويل فارقد ، فإن استيقظ فذكر الله عز وجل انحلت عقدة ، فإن توضأ انحلت عقدة، فإن صلى انحلت عقده كلها، فأصبح نشيطاً طيب النفس، وإلا أصبح خبيث النفس كسلا

~Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.


Selain itu...

Kalau selepas solat subuh itu,kita kalah dengan zikir hingga membuat kita tertidur,maka cari aktiviti yang menyegarkan mata kita selama 40 hari (atau kurang,mengikut keadaan masing-masing) secara berturut-turut,selagi ia bukan maksiat.Sebagai contoh ;kalau buka Facebook,mata yang bagaikan 'garfield' pun boleh berubah seperti mata 'burung hantu'.Ajib...Sememangnya nafsu itu berat dengan ketaatan!

Kenapa 40 hari berturut-turut?

Untuk menukar kebiasaan kita sebelum ini kepada kebiasaan yang kita mahu bentuk.

Sehinggalah mata kita ini sudah dilatih untuk tidak tidur selepas solat subuh.Tapi hati2,jangan kita tersasar dari hadaf kita.Bila kita sudah berjaya,maka gantikannya dengan amalan zikir atau baca Al-Quran supaya kita dapat menghidupkan sunnah yang Rasulullah sudah ajarkan kepada kita.Agar tidak kita lalui detik-detik kita kecuali ada keterikatan dengan kehidupan Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam.

Kerana itu....dari sudut tarbiyah tasauf,nombor 40 ini mengandungi rahsia tersendiri,sehingga terdapat banyak dalil yang menyebutkan secara khusus nombor 40 ini.

Sabda Rasulullah:

من صلى أربعين يوما في جماعة يدرك التكبيرة الأولى كتبت له ‏ براءتان براءة ‏‏ من النار وبراءة ‏ من ‏ النفاق

40 hari secara berjemaah dengan mendapat takbir pertama (bersama Imam),di catit buatnya 2 pembebasan:pembebasan api neraka dan pembebasan dari nifaq.

~Riwayat Imam Tirmizi.
Firman Allah Ta'ala:

فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ أَرْبَعِينَ سَنَةً ۛ يَتِيهُونَ فِي الْأَرْضِ

Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun,mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya(di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai).

~Surah Al-Maidah:26.

Firman Allah ta'ala:

حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً

Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun...

~Al-Ahqaf:15.

Dan banyak lagi ayat-ayat AlQuran yang menyebutkan angka 40 ini...

Alhamdulillah...
Dahulu,
Bagi saya,selepas subuh itu waktu paling tidak sesuai untuk membaca Al-Quran sebab kengantukan,
Tapi sekarang,
Ia merupakan waktu paling fresh saya untuk membaca Al-Quran.
Alhamdulillah...

Ya Allah,Jadikan nafsu kami ini mengikut apa yang Rasulullah mahu...

Thursday, December 30, 2010

Bayar Income Tax Sendimu!!!


Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.
Allahhumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi.


Firman Allah ta'ala:

لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.
~Surah Ibrahim:7.


Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

يصبح على كل سلامي أحدكم صدقة فكل تسبيحة صدقة وكل تحميدة صدقة
وكل تهليلة صدقة وكل تكبيرة صدقة وأمر بالمعروف صدقة ونهي عن المنكر صدقة
ويجزي من ذلك ركعتا الضحي يركعهما

Keatas setiap sendi seseorang sedekah,setiap tasbih adalah sedekah,setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah,setiap takbir adalah sedekah,dan menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah dan menegah kemungkaran adalah sedekah.Dan itu semua dikira dengan 2 rakaat Dhuha yang disolatnya.

~Riwayat Imam Muslim


Waktu Dhuha:

15 minit selepas waktu syuruq hingga 10 minit sebelum zuhur.

Seandainya kita tidak tahu waktu dhuha,maka kira dari waktu masuk subuh.Jangka waktu subuh biasanya 1 jam setengah.Kemudian tambah dari 1 setengah jam itu,30 min kemudian baru solat dhuha.(Itu apa yang guru alfaqir ajarkan).


Dari Sayyidina Abu Hurairah rodiallahu 'anhu berkata:

أوصاني خليلي صلى الله عليه وسلم بثلاث:

صيام ثلاثة أيام من كل شهر
،

وركعتي الضحى،

وأن أوتر قبل أن أنام

Kekasihku sollahu 'alahi wasallam mewasiatkan kepadaku 3 perkara:Puasa 3 hari setiap bulan,2 rakaat dhuha dan bersolat witir sebelum tidur.

~Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Sheikh Yusri pernah sebut dalam majlis sohih Bukhari :

"Hendaklah setiap orang menjaga solat dhuha ini kerana ia ibarat membayar income tax buat sendi2 tulang kita.Nikmat tulang yang sihat adalah diantara nikmat2 besar kerana berapa ramai yang menghadapi penyakit tulang, menghalanganya untuk melakukan pekerjaan seharian.Setiap nikmat kita diminta untuk mensyukurinya dan cara untuk mensyukuri nikmat sendi2 tulang adalah dengan melakukan solat dhuha.Jadi,jika kita mahu terselamat dari ditimpa penyakit tulang,maka pelihara solat ini kerana apabila kita bersyukur Allah akan menambahkan nikmat tersebut,jika tidak,maka sebaliknya."

Sheikh Mohammad Awad pula pernah sebut:

"Kalau kita tidak mampu melakukan solat2 rawatib,maka cukup buat kamu, lakukan solat dhuha kerana ia memurahkan rezki secara zohir dan batin. Mujarab!"

Pada mulanya...

Buat kerana faedah,

Selepas itu...

Kerana Rasulullah yang mewasiatkannya,

Dan akhirnya....

Kerana telah merasai apa yang Rasulullah rasa iaitu:

أفلا أكون عبدا شكورا
Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?!

Dan itu adalah hasil buah ma'arifatnya terhadap Allah s.w.t.

Kalau kita buat kerana faedah,maka kita akan susah untuk beristiqamah sebab bila susah,barulah memperbanyakkan solat dhuha.

Tapi jika buat kerana Kekasihnya yang memesannya untuk melakukan,maka tidak semudah itu untuk dia melepaskan walau ikutannya itu hanya kerana cinta tanpa memahami hakikatnya.

Dan akhirnya...

Kerana kejujuran cintanya dengan membuktikan melalui perbuatannya,Barulah dia faham rupanya "Aku lakukan itu adalah sebagai tanda kesyukuranku terhadap nikmat2Nya."

Kerana itu,Rasulullah adalah pintu menuju kepadaNya.

Bila sudah sampai stage ini...

Kalau rasa malas,dia mudah melawan nafsunya dengan berkata:

"Biadab engkau seorang hamba!Nikmat2Nya apalagi yang engkau dustakan sehingga begitu berat untuk melakukan 2 rakaat sebagai tanda kesyukuran????"

Ya Allah,Jadikan kami diantara hamba2Mu yang bersyukur....

Friday, December 24, 2010

Ilmu tiada akhirnya!

(Dari kiri) Dr.Sina',Pembentang Tesis-Dr Turkiyah Mustofa As-Saybini-Dr.Ali Jum'ah,Mufti Mesir-Dr Muhammad Ibrahim Al-Hifnawi,Mushrif-Dr Ibrahim 'Atiyyah Ibrahim Qindil.

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.
Allahhumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi.


Firman Allah ta'ala:

وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْماً

Berdoalah dengan berkata:"Wahai Tuhanku,tambahilah ilmuku".

Alhamdulillah pada hari sabtu 18/12/2010 dapat menghadiri persidangan tesis PHD (munaqosyah) seorang ukhti Mesir di University Al-Azhar cawangan wanita.Istimewanya adalah Mufti Mesir sebagai salah seorang ahli panel penguji.

Drturah Sina' Abdul Maqsod Juma'ah Abd Maqsud mendapat pangkat Syaraf ula (Kepujian pangkat pertama) dalam Munaqosyah.Beliau mengambil masa :4 tahun bagi B.A,5 tahun bagi M.A,4 tahun bagi PHD dan kini dia berumur 32 tahun,berkeluarga dan mempunyai anak2 yang cerdik.

Tajuk tesis beliau :

منهج الإمام الصنعاني دفع التعارض بين الأدلة في كتابه سبل السلام
Cara Imam Son'ani dalam menolak percanggahan antara dalil2 didalam kitabnya Subulus Salam.

Pertama sekali yang mempersoalkan tesis ukhti tersebut adalah Mufti.Sangat ta'ajub dengan kehebatan Mufti Sheikh Ali Juma'ah.Beliau asalnya dari kuliyah perniagaan,kemudian setelah selesai,berpindah ke University Al-Azhar untuk meneruskan pengajian agama.Tidak terlepas dari menceritakan kepada kami kenangan bersama masyayikhnya.

Sebagai permulaan,Sheikh Ali mengingatkan ukhti tersebut dan kami yang hadir dengan berkata:

"Ketahuilah bahawa PHD ini bukan pengakhiran ilmu...."

Sheikh banyak mempersoalkan bahagian nahu (grammar).Kemudian meminta agar murajaah semula bab2 tertentu dalam kitab nahu.Tambahan beliau:

"Tidak sepatutnya kesalahan2 nahu seperti ini berlaku dari seorang yang berlepasan PHD Al-Azhar."

Pada pendapat alfaqir...

Sebab sheikh mengatakan sedemikian adalah beliau ingin mendidik dan mengajar kita bahawa walau anda pemegang PHD, ilmu itu apabila semakin tinggi,semakin engkau tidak tahu apa2,walau perkara itu sepatutnya diketahui.Itulah tugas para ulama Rabbani senantiasa mendidik,mengingatkan kita akan kedudukan asal dan sebenar kita.

Apabila awak sudah selesai B.A,awak akan terasa ketidak kecukupan dan kepuasan dengan B.A yang berada di genggaman dan mahu terus mempertingkatkan diri ke peringkat yang seterusnya walau itu sebenarnya bukan pengukur ilmu kita.

B.A adalah masa untuk mengisi tapi bila sudah M.A adalah latihan untuk mencari.Kerana itu,apabila kita sudah mengisi kemudian mencari,membuatkan ilmu semakin mantap dan masak.Manakala PHD pula adalah 1 penambahan pada ilmu.

Yang paling PENTING...

Ilmu itu semakin tinggi kita belajar sepatutnya menambahkan rasa kejahilan dan kehinaan diri sebagai seorang hamba bukan kesombongan .

Bagaimana ilmu itu bertukar kepada cahaya???


Sheikh Yusri mengatakan bahawa perlu seorang penuntut ilmu itu mempunyai 4 ciri ini:

1)Tawaduk.
2)Ikhlas.
3)Kecintaan kepada Rasulullah.
4)Mencintai manusia sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.


Ya Allah,kami tidak mahu ilmu yang menambahkan kesombongan dan kejauhan dariMu...

Wednesday, November 10, 2010

Hari Istimewa Buat Orang Mukmin


Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.
Allahumma Solli 'ala sayyidina Muhammad wa ala alihi.


Firman Allah ta'ala:

والفجر وليال عشر

Demi waktu fajar,Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah iaitu awal 10 Zulhijjah).

~Surah Al-Fajr:1-2


Diantara Amalan-Amalan yang dilakukan pada hari2 istimewa ini:

1-Melakukan Haji dan Umrah.

Bagi yang tidak berkesempatan dan tidak berkemampuan untuk melakukannya,Rasulullah sudah ajarkan 1 amalan yang sama ganjarannya dengan melakukan Haji dan Umrah.

Sabda Rasululllah sollahu 'alai wasallam:

من صلى الفجر في جماعة، ثم قعد يذكر الله تعالى حتى تطلع الشمس، ثم صلى ركعتين، كانت له كأجر حجة وعمرة تامة تامة تامة
Barangsiapa yang menunaikan solat fardhu subuh berjemaah,kemudian duduk berzikir kepada Allah hingga terbit matahari(syuruq) dan solat 2 rakaat,Baginya ganjaran seperti ganjaran haji dan umrah secara sempurna,secara sempurna, secara sempurna.

~Riwayat Imam At-Tirmizi.

2-Puasa pada hari2 tersebut khasnya pada hari arafah (bagi yang tidak melakukan ibadah Haji) .

Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wa sallam ,Allah telah berkata:

الصوم فإنه لي وأنا أجزي به ،يدع شهوته وطعامه من أجلي

Puasa itu bagi Aku,Aku yang membalasnya,sesungguhnya dia meninggalkan nafsunya,makannya kerana Aku.

ّ~Riwayat Imam Muslim.

Sabda Rasulullah sollahu 'alai wasallam:

صيام يوم عرفة أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله والتي بعده
Puasa hari arafah aku mengharap kepada Allah agar menghapuskan kesalahan2 pada tahun lalu dan tahun selepasnya.

~Riwayat Imam Muslim.

Bagi sesiapa yang tidak mampu untuk berpuasa,akan tetapi tidak mahu melepaskan peluang,Maka membukakan puasa orang yang berpuasa.


Sabda Rasulullah sollahu 'alai wasallam:

من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شئ
Barangsiapa yang membukakan orang yang berpuasa,baginya ganjaran yang sama dengan orang yang berpuasa tanpa dikurangkan sedikit pun ganjarannya.

~Riwayat Imam At-Tirmizi.

3-Memperbanyakkan Takbir dan zikir.

عن ابن عمر رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ما من أيام أعظم ولا احب إلى الله العمل فيهن من هذه الأيام العشر فأكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد

Dari Ibn Umar R.A dari Nabi Sollahu 'alaihi wasallam bersabda:Tiada dari hari2 yang lebih agung dan tiada amalan yang lebih dicintai Allah daripada awal sepuluh (zulhijjah,maka memperbanyakkanlah didalamnya dari bertahlil( لا إله إلا الله),bertakbir dan bertamhid.

~Riwayat Imam Ahmad.

Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

من هلل مائة مرة وسبح مائة مرة وكبر مائة مرة كان خيرا له من عشر رقاب يعتقهن و ست بدنات ينحرهن

Barangsiapa yang bertahlil 100 kali,bertasbih 100 kali,bertakbir 100 kali,baginya kebaikan yang merupakan lebih baik dari memerdekakan 10 hamba sahaya dan menyembelih 6 ekor lembu.

~Riwayat Imam Al-Bukhari dalam Kitab Al-Adab Al-Mufrad.

4-Memperbanyakkan amalan soleh.

Sabda Rasulullah sollahu 'alai wasallam:

ما العمل في أيام أفضل منها في هذه قالوا: ولا الجهاد؟ قال: ولا الجهاد إلا رجل خرج يخاطر بنفسه وماله فلم يرجع بشيء

Tiada hari2 yg amalan soleh di dalamnya lebih dicintai Allah daripada hari2 ini (10 hari pertama Zulhijjah). Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, termasuk jihad di jalan Allah?” Baginda menjawab: “Ya, tidak juga jihad di jalan Allah kecuali orang yang mengorbankan jiwa dan hartanya dan dia tidak kembali setelah itu (mati syahid).”

–Riwayat Imam al-Bukhari.

5-Melakukan ibadah korban pada hari raya haji dan hari2 Tasyriq.


dan banyak lagi....


Cukuplah kalam Rasulullah itu sebagai sumber motivasi kami.....


ألا إن لربكم في دهركم نفحات ألا فتعرضوا لها


Hari-hari ini adalah hari2 yang terbaik selepas hari-hari di bulan Ramadhan.Beruntunglah bagi mereka yang faham dan beramal dengan apa yang telah diketahuinya.

Ya Allah,kurniakan kami ziarah ke rumahMu dan kekasih AgungMu berkali-kali...