Monday, January 02, 2012

Catitan Baru 2012.



Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.
Allahhumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi.


Firman Allah ta'ala:

وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْماً

Berdoalah dengan berkata:"Wahai Tuhanku,tambahilah ilmuku".

Surah Toha:114.

Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

وإنّ العلماء ورثة الأنبياء,
إنّ الأنبياء لم يورّثوا ديناراً ولا درهماً ولكنْ ورَّثوا العلم،
فمن أخذ منه أخذ بحظّ وافر

Dan sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris nabi.Sesungguhnya para anbiya' tidak mewariskan dinar atau dirham akan tetapi mereka mewariskan ilmu.maka barangsiapa yang mengambil bahagian darinya(ilmu),dia telah mengambil bahagian yang lumayan.


Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi.

Pada tahun 2012...

Satu kelainan yang dilakukan dari tahun2 sebelumnya,saya sediakan 1 diary calender khas untuk tahun ini.Tujuan dari diari tersebut adalah untuk memastikan saya mencatit paling kurang 1 ilmu baru yang dipelajari dan menulis aktiviti harian yang dilakukan agar dapat dilihat kemana perginya 24 jam saya.

Sudah menjadi fitrah bahawa setiap orang akan gembira dengan ilmu dan kefahaman yang baru diperolehi setiap hari.

Kenapa?

Kerana ia adalah Warisan Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam.Segala yang diwariskan Rasulullah semuanya menjadi penyebab kebahgiaan kita dunia dan akhirat.

Kalau ahli dunia gembira dengan kekayaan atau harta yang diperolehi,maka para pencinta Rasulullah lebih2 lagi gembira dengan warisan yang diperolehi dari Rasulullah sollahu alaihi wasallam.

Maka rugilah seseorang yang harinya bertambah tetapi tidak bertambah ilmunya!

Ya Allah,berkati waktu kami yang berbaki ini...

Thursday, December 22, 2011

Pembakar Semangat Syahid




Bismillah Ar-Rahman Ar- Rahim.
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'alihi.


Firman Allah ta'ala:

رَبَّنَآ آمَنَّا بِمَآ أَنزَلَتَ وَٱتَّبَعْنَا ٱلرَّسُولَ فَٱكْتُبْنَا مَعَ ٱلشَّٰهِدِينَ

Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami berserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu).
Al-Imran:53.

Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

ﻣَﻦْ ﻃَﻠَﺐَ ﺍﻟﺸﱠﻬَﺎﺩَﺓَ ﺻَﺎﺩِﻗًﺎ ﺃُﻋْﻄِﻴَﻬَﺎ ﻭَﻟَﻮْ ﻟَﻢْ ﺗُﺼِﺒْﻪُ

Siapa yang meminta syahid dengan penuh kesungguhan(jujur),Diberikannya syahid itu walau syahid itu tidak menimpa dirinya.

Riwayat Imam Muslim.

Sejak dari tahun 1999 ketika berlaku peperangan di Afghanistan, Sheikh Imad telah berkata kepada Sheikh Ali Jumuah selepas kelas, "Aku ingin mati syahid", kemudian Sheikh Ali "Bersabarlah...ajari manusia...ajari manusia...tempahkan dirimu (ke jalan itu) ."

Selepas dari itu, Beliau sentiasa berdoa: "Ya Allah kurniakanlah aku mati syahid"

Ketika menunaikan haji baru-baru ini, Beliau banyak meminta dan berdoa supaya dapat mati syahid.

Semua orang mengimpikan syahid...
Tapi bukan semua orang mahu menempuhi jalan syahid...
Akan tetapi Sheikh Imad Effats...
Dia mengimpikan syahid dan melalui jalan tersebut...
Semoga kami mengikut jejak langkahnya..

Patah tumbuh hilang berganti...Ulama pergi hilangnya tiada berganti.

Saturday, December 17, 2011

Hidupnya Dakwah,Matinya Syahid.


Solat Jenazah Sheikh Emad diimamkan oleh Mufti Mesir.


Bismillah Ar-Rahman Ar- Rahim.
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'alihi.


Firman Allah ta'ala:


وَلا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتًا ۚ

بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَ‌بِّهِمْ يُرْ‌زَقُونَ


Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.


~Al-'Imran:169.

Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:


إن الله لا يقبض العلم انتزاعا ينتزعه من العباد ولكن يقبض العلم بقبض العلماء


Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari hamba2Nya tapi Allah mencabut ilmu itu dengan mencabut nyawa para ulama.

~Riwayat Imam Bukhari.



Inna Lillahi wa Inna Ilaihi Raji'uun. Telah meninggal dunia guru kami Shaikh Imad Iffat salah seorang ulama Azhar dan Darul Ifta Mesir pada hari jumaat,16/12/2011. Sheikh mengajar kitab "Mughni Al-Labib"(nahu) setiap selasa pagi di Masjid Al-Azhar Al-Syarif.

Fadhilat Al-Syahid Syekh Imad Iffat merupakan seorang tenaga fatwa Mesir, beliau terkenal dengan kefaqihannya dalam fiqh mazhab Syafi'iy, seorang yang 'alim dalam ilmu Nahu dan seorang pakar Qiraat 10. Seorang yang tegas tetapi penyayang, sayangkan kebenaran dan memperjuangkannya. Seorang yang sungguh tawadhu'.

Mufti Mesir, Syeikh 'Ali Jumu'ah hafizohuLLAh pernah memujinya: " Anta ma'aka kanzun ya Syeikh Imad" (Bagi dirimu harta yang bernilai Wahai Syeikh Imad) kerana keluasan ilmu yang ada pada dirinya.

Orang yang paling sheikh Ali Jumaah (Mufti) hormat ialah Sheikh Imad.Kalau sheikh Ali lupa,sheikh Imad ingatkan.Kalau sheikh Ali debat,sheikh Imad jawabkan.Kalau mereka berdua berhujah,sheikh Ali akan membenarkan hujah sheikh Imad.


Beliau pergi menghadap Ilahi kerana ditembak dalam rusuhan yang berlaku di Syari' Majis Al-Wuzara'.

Kalau hadir pengajiannya,beliau tidak terhenti membuat kami rasa ta'ajub akan keilmuannya.Dan saya kini betul2 terasa akan

sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam yang telah disebutkan diatas.
Dia bukan hanya pergi dengan jasadnya,malah segala ilmu dan rahsia2 ilmunya itu dibawa bersamanya.Kehilangannya menggegarkan Al-Azhar dan Mesir!

Tidak bertambah hari saya kecuali bertambah cinta pada Mereka, para ulama Al-Azhar Al-Syarif.Semoga Allah memelihara Mereka.

Teringat kata2 Sheikh Usamah:

"Al-Azhar Al-Syarif itu bukan terdiri atas tiang-tiang dan dinding-dinding masjid tapi yang dimaksudkan Al-Azhar itu adalah para ulamanya ."

Kami diberitahu bahwa solat jenazah akan berlaku selepas solat zuhur tapi apabila sebelum azan zuhur,diumumkan lagi bahwa waktu solat jenazah bertukar kepada selepas solat asar.Jadi,sepanjang penantian itu...berbagai incident berlaku di satu tempat.

Buat pertama kalinya saya berada di tempat mereka yang sedang lakukan pemberontakan secara damai.Sungguh berbeza cara para ulama berinteraksi dengan kejadian dengan orang awam!Orang yang berilmu itu tidak akan sama dengan orang yang tidak berilmu.Para ulama Al-Azhar menangani keadaan itu dengan penuh ketenangan manakala orang awam hanya mengikut perasaan, perasaan mereka itu mengatasi akal hingga tidak menjaga adab dan kehormatan masjid dan orang yang telah wafat.


Ternayata yang mulakan pemberontakan di tengah-tengah lapangan Al-Azhar itu adalah dari kalangan orang awam dan para ulama tidak masuk campur dengan aktiviti mereka.Malah,untuk meredakan keadaan dan mendiamkan pemberontak-pemberontak itu,diambil inisiatif dari kalangan ulama untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan digemakan hingga didengari oleh semua orang yang berada di masjid.

Kemudian bersuara seorang sheikh Al-Azhar mengingatkan jemaah:

"Tenang.Tenang.Tenang.Barangsiapa yang menyembah Allah,maka ikut sepertimana yang Allah mahu."

Allah...ketika itu, saya teringat kata-kata sayidina Abu Bakar kepada orang ramai ketika berita akan kewafatan baginda sollahu 'alaihi wasallam diterima:

من كان يعبد محمد فإن محمدًا قد مات ، ومن كان يعبد الله فإن الله حي لا يموت

Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat dan Barangsiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak mati.




Seramai yang dilihat dalam gambar (kanan) itu yang sedang berarak,seramai itulah mereka beramai-ramai mengikut dari belakang jenazah sheikh dari Husin hingga ke sayidah Aisyah,tempat pengebumiannya,dengan berjalan kaki!Ajib...
Berjalan diatas nama cinta,tidak terasa penatnya!



Syaikh Wusam menceritakan bahawa sebelum beliau menjalani pembedahan kaki beliau kelmarin, Al-Syahid Syaikh 'Imad menelefon beliau sehari sebelum menemui ajalnya bertanyakan bahawa adakah engkau membaca surah Yaasin sebelum masuk ke bilik pembedahan, lalu Syaikh Wisam menjawab ya, lalu ditanya balik kenapa, namun al-marhum menjawab tiada apa2, sehinggalah pagi tadi baru beliau merasakan itu adalah isyarat dari al-marhum utk menghadiahkan bacaan Yaasin ke atas ruhnya...Allah!


Sheikh Yusri pernah berkata dalam pengajiannya:

"Syurga itu makhluk dan sebaik-baik makhluk Allah adalah Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam.Kerana itu,sebaik2 balasan bukanlah syurga tapi adalah bersama Rasulullah di syurga".

Maka,apalah erti kita berada di syurga tapi jauh dengan Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam...

Semoga Allah menempatkannya bersama Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam disana.

Ya Sayidi...
Nanti apabila engkau bersama Rasulullah...
Hulurkan tanganmu kepada kami...
Sehingga kami juga dapat bersama Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam....
Moga ketemu lagi Ya Sayyidi...



Penyaksian Sheikh Ali Jumaah terhadap sheikh Emad Effats.

Ya Allah,jangan Engkau mengambil nyawa ini kecuali dalam keadaan syahid di jalanMu.

Saturday, October 22, 2011

Gabungan 2 Cahaya


Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.
Allahumma solli 'ala sayidina Muhammad wa 'ala alihi.

Firman Allah ta'ala:

فَبِأَيِّ آلاۤءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ


Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?

~Surah Ar-Rahman.

Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

اللهم بارك لنا في شامنا، اللهم بارك لنا في يمننا

Ya Allah berkati buat kami,Syam kami,
Ya Allah berkati buat kami,yaman kami.

-Riwayat Imam Bukhari.

Pada hari Ahad 16/10/2011...

Alhamdulillah, 2 tetamu ulama besar dari dua negara;Yaman dan Syria;Sheikh Nuruddin Itr dan sayidi Al-Habib Umar Ibn Hafidz,dikumpulkan di Masjid Al-Azhar Al-Syarif.Seakan kesan dari doa Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam itu dinikmati oleh kami pada ketika itu dengan Dia menghadirkan kepada kami 2 bintang itu pada 1 tempat dalam waktu yang sama.

2 negara ini yang teringin sangat saya nak pergi tapi tidak berkesempatan,akhirnya Allah datangkan bintang2Nya dari 2 negara itu turun ke bumi Mesir.Sesungguhnya tidak mampu kami mensyukuri nikmatMu ya Allah...

****************************************

Beberapa Nasihat Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz -HafizahuLLAH- di Masjid Al-Azhar Al-Syarif 16-10-2011...


1. Pentingnya memilih dan menentukan sumber rujukan kita dalam mengambil Ilmu dan Kefahaman Islam.


Abdullah Ibn Mubarak -RadhiyaAllahu Taala 'anhu- menyebutkan:

"Ilmu ini(Ilmu Syara') ini adalah Agama kamu,maka perhatikanlah(nilailah) dari siapa kamu mengambil Agama &Ilmu kamu tersebut".


Disinilah letaknya kelebihan Institusi Al-Azhar dan Para Ulama'nya. Merekalah golongan yang menjaga dan memelihara ketulenan kefahaman Islam dari zaman Rasulullah S.A.W sehinggalah ke hari ini,tidak terputus silsilahnya,bersambung dengan Baginda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam.


Sekiranya ditanya tentang guru mereka,mereka boleh menyatakan satu persatu nama dari mana mereka mengambil ilmu tersebut,dan seterusnya bersambung sehingga lah kepada Baginda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam.


Keistimewaan Silsilah ini,bukan semata-semata silsilah,akan tetapi lebih dari itu,ianya adalah warisan dan mata rantai yang menghubungkan antara kita semua dengan Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam. Mata rantai yang menghubungkan ILMU,KEFAHAMAN,AKHLAK dan JIWA seorang Muslim sebagaimana yang diajar dan dikehendaki oleh Baginda sollahu 'alaihi wasallam.


Sekiranya dilihat kepada aliran-aliran lain yang menisbahkan diri mereka kepada Keilmuan dan dan Kefahaman Islam,kita akan dapat melihat terputusnya silsilah ini. Ini disebabkan oleh tidak caknanya mereka terhadap disiplin keILMUan Islam yang meletakkan mestinya BERGURU dan BELAJAR dari ahlinya.


Aliran-aliran ini,sekiranya diminta untuk membentangkan dari mana mereka mengambil agama ini,pastilah kita boleh melihat tiadanya silsilah yang menghubungkan mereka dengan Rasulullah S.A.W,walaupun mereka gemar mendakwa merekalah yang berpegang kepada Sunnah Baginda sollahu 'alaihi wasallam.


Para Ulama' menyebutkan : "Isnad itu adalah sebahagian dari Agama ini,kalaulah tidak kerana Sanad(Silsilah yang menghubungkan pembawa berita dari sumber aslinya) pastilah semua orang akan bercakap dan mendakwa apa sahaja mengikut sesuka hati mereka."


2. Pentingnya Berguru (Belajar dari Ahli) dan hadir ke dalam Majlis Bersama para Ulama' dan Solihin.


Habib Umar -Hafizahullah- menyebutkan bahawa keberkatan hadir dalam majlis para Ulama' dan Solihin ini,akan dapat kita rasakan walaupun sebelum guru kita itu memulakan percakapannya. Akhlaknya,wajahnya,ketenangan jiwanya sudah cukup untuk memancarkan sinar Ajaran Islam dan Panduan Rasulullah S.A.W ke dalam jiwa kita.


Beliau juga menambah,para penuntut ilmu sepatutnya mengambil peluang untuk datang berguru dan bersama dengan para Ulama' Al-Azhar,kerana mereka memiliki kelebihan itu,kelebihan dari sudut Keahlian(kepakaran),keSolehan dan Taqwa mereka.


Beliau juga mengingatkan kita betapa beruntungnya kita,kerana terpilih untuk mendapat nikmat hadir ke majlis Ilmu,sedangkan di luar sana ramai yang lalai dengan keseronokan dan kenikmatan dunia,tetapi kita,Alhamdulillah Allah memilih kita untuk datang mendapatkan kenikmatan dan keseronokan yang lebih kekal.

3. Pesanan Khusus buat Penuntut Ilmu
.

Penuntut Ilmu perlulah menjaga kebersihan Zahir (Luaran) dan Batin (Hati) ketika menuntut Ilmu.

Antaranya,Jagalah wuduk ketika hadir ke kelas-kelas pengajian.

Begitulah juga,kita mesti menjaga kebersihan Hati dari Maksiat dan Sifat-Sifat Mazmumah,supaya Ilmu dapat masuk ke dalam Jiwa kita.


Hadir ke kelas,belajar dari guru sememang adalah syarat asasi kepada proses untuk mendapatkan Ilmu. Akan tetapi,antara yang akan membuatkan Ruh Ilmu masuk kedalam jiwa,Kefahaman yang sebenar dikurniakan oleh Allah kepada kita ialah:


Bangun di tengah malam,memohon dengan penuh rasa pengharapan dan hina diri terhadap Allah supaya diberikan dan dikurniakan Ilmu dan Kefahaman sebenar dariNya.


Proses "Zahir"untuk mendapatkan ilmu itu mampu dilakukan oleh siapa sahaja,Fasiq atau Soleh.Akan tetapi,Ruh Ilmu dan Kefahaman yang sebenar hanya akan diberikan oleh Allah kepada hati-hati yang Tawadhuk dan tunduk menghinakan diri di hadapan Allah,antaranya dengan bangun bermunajat di tengah malam memohon kurnia dariNYA.

Habib Umar Bin Hafiz -HafizahuLLAH- juga berpesan kepada para penuntut Ilmu terutama Azhariyyun :

"Islam akan kembali hidup dalam jiwa masyarakat sekiranya kita membawa Ilmu Syariat yang soheh,yang di ambil dan dipelajari dari ulama'-ulama' dengan manhaj yang benar, kemudian di amalkan."

Beliau -Hafizahullah- juga meluahkan perasaan gembiranya yang teramat sangat melihat Masjid Al-Azhar kembali hidup dengan Majlis-Majlis Ilmu di dalamnya,dan dihadiri oleh ramai penuntut Ilmu.

Wallahu 'alam.

*Pencatit nota:Ust Muhammad Noorazam Bin Bahador.

Friday, September 23, 2011

Zaman Kegemilangan Kembali



Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi.



Firman Allah ta'ala:

يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ آمَنُواْ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat .

~Surah Al-Mujadalah:11.



Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين

Barangsiapa yang Allah mahukan baginya kebaikan,maka dia akan difahamkan kepadanya dalam urusan agama.


Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.


Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah.

Setelah lebih kurang 6 tahun,pengajian kitab bersama mufti terhenti kerana keadaannya yang tidak mengizinkan.Selalu guru kami menceritakan kepada kami akan pengalaman mereka menghadiri majlis ilmu Mufti.Sehingga terdetik dalam hati:"Untungnya orang2 terdahulu yang Allah berikan mereka kesempatan itu."Dan alhamdulillah... Allah kembalikan zaman itu, malah mungkin lebih baik.

Imam besar ,Syeikh Al-Azhar juga akan kembali mengajar di Masjid Al-Azhar Al-Syarif dan ditambah pula dengan pembacaan kitab2 besar turath bersama ulama2 besar Al-Azhar Al-Syarif yang akan disemarakkan semula disana seperti tafsir Al-Kasyyaf oleh Imam Zamakhsyari dan banyak lagi.

Maka,jagalah nikmat ini agar ia ditambah dan berkekalan.Jika tidak,akan ditarik semula kerana tidak bersyukur.Tanda syukur adalah kita rebut peluang yang Allah telah berikan kita dengan sebaik mungkin.

Sheikh Ali pernah sebut dalam pengajiannya baru2 ini:

"Kebaikan ummat ini akan kekal berterusan hingga ke akhirya.Alhamdulillah kerana Dia telah mengkhaskan kami menjadi ummat ini."

Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:

مثل أمتي مثل المطر لايدرى الخير في أوله أو آخره

Perumpaan ummatku seperti hujan,tidak diketahui kebaikan itu di awalnya atau diakhirnya.


Riwayat Imam Al-Tirmizi dan Imam Ahmad.


Jadual Sheikh Ali Jumaah :-

Hari: Sabtu,Ahad ,Isnin.

Waktu: 8.00 -9.30 AM.

Kitab:
-Al-Ashbah wa Al-Nazoir oleh Imam Al-Suyuthi (qawaid).
-Al-Tamhid oleh Imam Al-Isnawi (usul + feqh).
-Ghayah Al-Wusul fi lubbi Al-Usul oleh Sheikh Zakaria Al-Ansori (usul feqh).

Pengajian Tafsir:-

Hari :Setiap Sabtu dan Jumaat.

Waktu: 10 PM

Tempat: Masjid Fadhil (Masjid Mufti) @ 6 october.
Add: مدينة (6) أكتوبر الحي المتميز منطقة غرب سوميد

Saya sangat mencintai Al-Azhar Al-Syarif dan para ulamanya.Moga ia juga mencintai saya sepertimana Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam mencintai jabal uhud dan jabal uhud juga mencintai Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam!!!

Ya Allah,Engkau peliharalah kaabah ilmu ini dan orang2 yang memperjuangkannya.

Bagaimana saya mahu balik ya Allah...dengan Al-Azhar sedang melalui zaman kegemilangannya?!Memang saya gila kerana tidak memahami perasaan orang lain dan mengutamakan perasaan cinta saya.

Engkau rahmatilah perasaan ini...
Sesungguhnya hanya Engkaulah pengubat jiwa yang lara...




Rakaman pengajian usul feqh oleh Sheikh Ali Jumaah @ Masjid Al-Azhar Al-Syarif.